Kerajaan negeri tidak terlibat urusan perolehan projek air Sabah

Kerajaan negeri tidak terlibat urusan perolehan projek air Sabah

KOTA KINABALU, 22 Nov – Kerajaan negeri tidak terlibat dalam urusan perolehan projek yang dibiayai melalui peruntukan geran daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.

Beliau berkata sebahagian daripada projek air di Sabah dilaksanakan melalui dana kerajaan persekutuan yang disalurkan terus kepada KKLW di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

“Di bawah BALB, KKLW adalah pengawal peruntukan dan agensi pelaksana manakala Jabatan air Negeri Sabah selaku jabatan yang bertanggungjawab ke atas bekalan air negeri hanya berperanan sebagai agensi perancang, penasihat teknikal dan penguasa projek semasa tempoh pelaksanaan.

“Ia selaras dengan surat kuasa yang diberikan oleh KKLW kepada Jabatan Air selaku pegawai penguasa untuk setiap projek bagi tujuan pentadbiran sahaja,” katanya.

Segala urusan kewangan termasuk pengawalan peruntukan dan proses pembayaran adalah dilaksanakan di peringkat KKLW, katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (Harapan Rakyat-Klias) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Lajim bertanya apa kaitan projek air di Sabah dengan dana daripada kerajaan pusat melalui KKLW.

Ramlee berkata kerajaan negeri mempunyai dua sumber pembiayaan berbentuk geran untuk melaksanakan projek infrastruktur air di Sabah iaitu peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. – Bernama