Kerajaan perpaduan Palestin letak jawatan

Kerajaan perpaduan Palestin letak jawatan

RAMALLAH, Wilayah Palestin (AFP) – Kerajaan perpaduan Palestin yang dibentuk bagi menamatkan sengketa antara kumpulan Hamas dan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas telah meletak jawatan semalam, menurut seorang pegawai.

“Perdana Menteri Rami Hamdallah menyerahkan peletakan jawatannya kepada Mahmoud dan beliau diarah untuk membentuk sebuah kerajaan baru,” kata seorang penasihat Mahmoud, Nimr Hammad.

“Perbincangan untuk membentuk kerajaan baru turut melibatkan rundingan pelbagai pihak termasuk Hamas,” tambahnya.

Beberapa pegawai menyatakan, rancangan pembubaran kerajaan perpaduan itu telah dibincangkan selama beberapa bulan berikutan kabinet dihalang daripada beroperasi di Genting Gaza yang dikuasai Hamas.

Perkembangan itu berlaku ketika Hamas dilaporkan mengadakan rundingan tidak langsung dan secara berasingan dengan Israel untuk mengukuhkan persetujuan gencatan senjata pada Ogos 2014 yang menamatkan perang 50 hari di Gaza.

Beberapa pegawai berpendapat bahawa rundingan rahsia itu mendorong Mahmoud untuk membubarkan kerajaan perpaduan Palestin.

Seorang pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin pula berkata, kerajaan baru itu dipercayai akan disertai oleh anggota politik dan bukan daripada kalangan teknokrat seperti sebelumnya.