Kerajaan Pusat jamin penurunan kuasa Sarawak dikembalikan – Najib

Kerajaan Pusat jamin penurunan kuasa Sarawak dikembalikan – Najib

BINTULU, 31 Jan – Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan menyerahkan penurunan kuasa pentadbiran kepada Kerajaan Negeri Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, rundingan tersebut hanya melibatkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) diketuai Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Saya tak ada hajat nak ambik hak Sarawak. Kalau ada kita ambik hak, kita boleh serah balik,” katanya di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri lebih 15,000 orang, di sini, hari ini.

Najib berkata, kerajaan persekutuan tidak akan mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak selain daripada dengan Ketua Menteri walaupun ada sesetengah pihak mendakwa berjuang demi kepentingan hak Sarawak.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 tahun ini, Najib berkata, pembinaan jambatan Batang Lupar di Sri Aman akan dijadikan sebahagian janji BN.

“Ia akan menjadi manifesto BN Sarawak untuk dilaksanakan nanti. Pembiayaan dibiayai bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan menyumbang 50 peratus peruntukan dan kerajaan negeri 50 peratus,” katanya sambil menambah kos projek tersebut belum dapat ditentukan lagi.

Najib berkata, projek jambatan Batang Lupar bakal meningkatkan tahap ekonomi penduduk perkampungan pesisiran pantai Sarawak.

“Kita ada perancangan besar untuk Sarawak, bukan setakat retorik politik, kita telah sampaikan dan akan terus sampaikan,” katanya sambil merujuk kepada janji untuk pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion yang kini sedang dalam proses pelaksanaan. – Bernama