Kerajaan Sabah iktiraf, hargai sumbangan gerakan koperasi

Kerajaan Sabah iktiraf, hargai sumbangan gerakan koperasi

KOTA KINABALU, 14 Ogos – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyokong penuh Program Francais Komuniti bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah terlibat dalam perniagaan yang berkonsepkan francais.

“Ini jelas membuktikan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam meningkatkan lagi pembangunan sosio ekonomi rakyat terutamanya masyarakat Bumiputera menerusi gerakan koperasi dan program francais,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara dan Francais peringkat Sabah, di sini hari Sabtu.

Teks ucapan Musa dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Mengenai program itu, Musa berkata melalui sambutan itu koperasi dan usahawan yang terpilih dapat menjadikan program ini sebagai platfrom untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada masyarakat.

Rosnani Mattullah dari Koperasi Bela Rakyat DUN Karambunai menerima Bantuan Pengukuhan berjumlah RM50,000 dari Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Bin Hussin sempena majlis perasmian Hari Koperasi Negara Dan Francais Komuniti Peringkat Negeri Sabah 2016 semalam. – Bernama
Rosnani Mattullah dari Koperasi Bela Rakyat DUN Karambunai menerima Bantuan Pengukuhan berjumlah RM50,000 dari Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Bin Hussin sempena majlis perasmian Hari Koperasi Negara Dan Francais Komuniti Peringkat Negeri Sabah 2016 semalam. – Bernama

“Saya percaya lebih ramai usahawan kecil, para peniaga dan masyarakat berpeluang untuk mendapatkan penerangan serta pendedahan tentang industri francais dalam negara, selain dapat mengikuti taklimat oleh francaisor tempatan yang berjaya,” katanya.

Pada masa sama, Musa menyeru agar usaha yang digerakkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk memberi kefahaman dan meningkatkan penglibatan rakyat dalam gerakan koperasi terus diperhebat.

“Ini kerana koperasi bukanlah institusi yang menyediakan pembiayaan kredit semata-mata. Sebaliknya koperasi merupakan satu bentuk perniagaan yang memberi faedah dan nilai tambah kepada anggotanya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata bilangan koperasi berdaftar di Sabah pada tahun lepas 1,279 dan ia menjadikan negeri ini di tempat ketiga di Malaysia dari segi bilangan koperasi.

Beliau berkata bilangan anggota koperasi di negeri ini pada tahun lepas adalah 350,000 orang dan ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 338,000 pada 2014.

“Walaupun pencapaian gerakan koperasi di negeri ini yang menunjukkan trend meningkat dalam kebanyakan aspek boleh dibanggakan, namun bagi SKM ia merupakan cabaran besar kerana pertambahan bilangan koperasi berdaftar yang agak drastik adalah indikator kepada pertambahan beban tugas.

“Namun saya yakin SKM akan dapat mengatasi masalah ini dengan semangat kerjasama yang jitu dan kukuh. Selain itu beban tugas akan menjadi lebih ringan sekiranya koperasi dan anggotanya memahami peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya. – Bernama