Kerajaan Sabah komited lindungi kawasan Sungai Kinabatangan

Kerajaan Sabah komited lindungi kawasan Sungai Kinabatangan

KINABATANGAN, 12 Okt – Kerajaan negeri Sabah komited melindungi kawasan riparian di sepanjang Sungai Kinabatangan dengan menyokong penuh penubuhan unit peronda riparian Koridor Kehidupan Kinabatangan (K-COL).

Unit peronda riparian K-CoL berkenaan ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor

Kehidupan Kinabatangan (KiTA) bertujuan untuk melindungi rizab riparian di sepanjang Sungai Kinabatangan.

Pengarah Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan berkata dengan adanya K-CoL, sebarang pencerobohan atau kegiatan dan aktiviti yang boleh memudaratkan kepelbagaian biodiversiti di kawasan riparian dapat diatasi dan dikawal.

Katanya unit berkenaan juga memantau dan membantu agensi-agensi berkaitan dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas kawasan riparian di daerah ini berdasarkan beberapa undang-undang yang telah ditetapkan.

Selain kehendak undang-undang, rizab riparian sangat penting bagi mengekalkan khazanah alam dan juga kepelbagaian biodiversiti di Kinabatangan ini yang merupakan sumber pendapatan dan ekonomi cukup bernilai, katanya pada majlis pelancaran unit itu di sini, hari ini.

Mannan berkata walaupun telah digariskan sebagai kawasan rizab dan dilindungi, masih terdapat pelbagai cabaran dan masalah yang timbul ekoran sikap tidak bertanggungjawab individu dan syarikat yang sewenang-wenangnya bertindak melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya tidak akan membiarkan lagi berlakunya pencerobohan kawasan riparian agar tidak berlaku penyesalan di kemudian hari kerana perbelanjaan untuk memulihkan hutan sangat tinggi dan mengambil masa yang sangat lama.

Katanya manfaat dan pulangan lumayan mampu diperolehi oleh masyarakat dan negara sekiranya alam sekitar diselia dan dilindungi dengan baik, sebaliknya banyak kesan buruk akan dialami sekiranya alam sekitar diabaikan. – Bernama