Kerajaan Syria tolak cadangan terbaru PPB

Kerajaan Syria tolak cadangan terbaru PPB

BEIRUT, 21 Nov – Kerajaan Syria menolak cadangan terbaru wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Aleppo semalam, menggesa pemisah berundur dan menegaskan tidak akan memberikan kuasa autonomi kepada wilayah timur yang dikuasai pembangkang sebagai balasan tidak melancarkan serangan.

Menteri Luar Syria, Walid al-Moallem, berkata mengembalikan kekuasaan kerajaan adalah perkara berkaitan “kedaulatan negara” dan Damsyik tidak akan membenarkan penduduk di timur Aleppo menjadi “tebusan kepada 6,000 penyerang”.

“Kami bersetuju mengenai perlunya pemisah berundur dari timur Aleppo bagi menamatkan penderitaan orang awam di bandar raya itu,” katanya.

Beliau bercakap selepas pertemuan dengan wakil PBB, Staffan de Mistura, yang menyedari wujud perselisihan besar dengan al-Moallem dan berkata adalah sesuatu yang kreatif jika penyelesaian sementara diperlukan untuk menghentikan keganasan.

Gambar yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, menunjukkan Walid al-Moallem, bercakap pada sidang media di Damsyik, Syria, kelmarin. – AP
Gambar yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, menunjukkan Walid al-Moallem, bercakap pada sidang media di Damsyik, Syria, kelmarin. – AP

“Kami cuma mencadangkan supaya tidak ada perubahan mendadak radikal dalam pentadbiran di Aleppo sehingga ada penyelesaian politik,” katanya. Beliau memberi amaran dalam temubual baru-baru ini dengan akhbar The Guardian di Britain bahawa kerajaan mengejar ‘kemenangan yang memakan terlalu banyak korban’ di Aleppo jika ia tidak mencapai persetujuan politik dengan pembangkang.

Beliau memberi amaran pendekatan ketenteraan akan menyebabkan lebih ramai pemisah berhaluan sederhana menyertai kumpulan militan Islamic State (IS).

Sekurang-kurangnya 172 penduduk awam maut sejak kerajaan melancarkan semula serangan di wilayah itu enam hari lalu, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

PBB menganggarkan 275,000 penduduk terperangkap di timur Aleppo. Pada Sabtu, kerajaan memusnahkan atau merosakkan semua hospital di situ, menurut Persatuan Perubatan Amerika Syria, yang membantu hospital di negara itu. Kerajaan menafikan ia menyerang hospital. – AP

ARTIKEL YANG SAMA