Kerajaan Thailand bersedia dengan draf piagam

Kerajaan Thailand bersedia dengan draf piagam

BANGKOK, 11 Mei (Xinhua) – Suruhanjaya Penggubalan Perlembagaan Thai (CDC) semalam berkata penggubal piagam sedang membuat persediaan untuk mendidik orang awam mengenai draf piagam dan penubuhan satu kumpulan untuk mengendali pusat panggilan untuk menyebar maklumat.

Pengerusi CDC Meechai Ruchupan berkata CDC telahpun ditugaskan dengan merancang lawatan ke seluruh negara untuk menjelaskan maklumat utama yang terkandung dalam draf piagam dan soalan referendum, serta menyedia dokumen dan melatih anggota sukarelawan terpilih untuk membantu seberapa ramai orang mungkin untuk memahami draf piagam.

Beliau berkata anggota sukarelawan mesti boleh dipercayai, bersikap neutral dan pandai bercakap.

Mereka akan mengetuk pintu rumah orang di seluruh negara pada Julai sementara referendum awam mengenai draf piagam dijadual diadakan pada 7 Ogos.

Pada 7 Ogos, pengundi akan membuat keputusan mengenai dua soalan. Yang pertama adalah sama ada anda menyokong atau membantah draf piagam.

Yang kedua adalah sama ada anda bersetuju senator yang tidak dipilih harus diberikan kuasa untuk menyertai anggota terpilih parlimen dalam mengundi untuk memilih perdana menteri.

Surachai Liengboonlertchai, naib presiden Perhimpunan Perundangan Negara Thai (NLA) memberitahu Xinhua dalam satu temu bual eksklusif bahawa seramai 127 anggota NLA telahpun mengesahkan penyertaan mereka dalam lawatan serantau dan mereka akan mengambil bahagian dalam sesi latihan, dijadual diadakan pada 13 Mei, untuk memastikan semua berusaha untuk mencapai matlamat yang sama.

Surachai menekankan referendum yang adil dan efektif hanya boleh berlaku jika pengundi menerima maklumat yang mencukupi mengenai isi kandungan draf dan soalan tambahan mengenai pemilihan seorang perdana menteri.

“Penyebaran maklumat adalah lebih penting daripada pilihan raya. Hanya apabila pengundi dilengkali dengan maklumat yang betul dan pengetahuan asas demokrasi barulah mereka mengelak daripada membuat keputusan dalam cara yang tidak sihat menerusi promosi parti politik yang berlainan dan membuat pilihan berdasarkan fakta dalam pondok pengundian,” kata Surachai.

ARTIKEL YANG SAMA