Kerajaan tingkat usaha sokong perusahaan tempatan

Kerajaan tingkat usaha sokong perusahaan tempatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Pihak kerajaan terus meningkatkan usaha untuk memastikan bahawa kemudahan logistik dan sokongan bagi perusahaan-perusahaan tempatan termasuk perusahaan Melayu dapat diberikan supaya dapat sama-sama merebut peluang perniagaan, meraih kemajuan dan sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam isu eksport, pihak kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk memastikan bahawa caj bagi pengeksportan barangan dari Brunei ke luar negara adalah kompetitif dengan caj yang dikenakan oleh negara-negara jiran.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar berkata, adalah diakui bahawa dari segi logistik termasuk kos pengeksportan, sebilangan besar perusahaan tempatan mendapati kos mengeksport barangan mereka masih tinggi dan masih banyak lagi ruang serta usaha dapat dilaksanakan untuk memperbaiki lagi perkara itu.

Dalam sesi soal jawab semasa Dialog DARE bersama Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, kelmarin, Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai isu kemudahan dan sokongan yang diutarakan di mana perkara itu akan ditangani bersama oleh DARE dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan bergantung kepada industri di mana perusahaan itu berada.

Semasa sesi soal jawab itu, ahli-ahli PPPMB juga menyentuh mengenai minda keusahawanan di Brunei di mana salah seorang ahli menyatakan bahawa belia pada masa ini mempunyai kecenderungan untuk menceburi dunia keusahawanan tetapi apabila mereka menghadapi kegagalan, mereka mungkin merasa takut untuk gagal dan ia boleh menyebabkan mereka enggan untuk menceburi bidang itu.

Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan kepada para ahli PPPMB semasa sesi dialog itu.
Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan kepada para ahli PPPMB semasa sesi dialog itu.

Dalam hubungan itu, salah satu cadangan yang diketengahkan adalah untuk menyediakan klinik bagi usahawan-usahawan muda berkenaan bagi memberikan mereka bimbingan dan nasihat serta untuk memberikan galakan kepada mereka jika memerlukannya.

Yang Berhormat Pehin amat kagum dan tertarik dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh PPPMB untuk membawa kira-kira 100 orang graduan dan memberikan pendedahan kepada mereka dengan dunia keusahawanan.

Beliau berkata, usaha PPPMB itu harus diberikan pujian kerana mereka tidak menunggu pihak kerajaan tetapi mengambil inisiatif sendiri untuk membantu golongan graduan itu supaya akan menceburi bidang keusahawanan.

Terdahulu, sebelum sesi soal jawab berkenaan, taklimat mengenai DARE (Darussalam Enterprise) telah disampaikan oleh Dayangku Hajah Siti Normardinah binti Pengiran Haji Omarali dan taklimat mengenai Ease of Doing Business di bawah Jabatan Perdana Menteri disampaikan oleh Ketua Unit, Awangku Mohd Abdul Aziz bin Pengiran Ali Hassan.

Sesi dialog itu dihadiri oleh seramai 64 orang peserta daripada PPPMB dan taklimat mengenai PPPMB di majlis itu, telah disampaikan oleh Naib Presiden Perdagangan, PPPMB, Haji Aminorashid bin Haji Ghazali.

ARTIKEL YANG SAMA