Kerana $50, kena 5 tahun penjara, 5 sebatan

Kerana $50, kena 5 tahun penjara, 5 sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160222_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Hanya kerana bayaran $50 bagi setiap penghantaran dadah, seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Metussin bin Haji Matyassin, 23, yang didakwa memiliki 2.0915 gram Methylamphetamine untuk tujuan mengedar pada 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta Tanah Perkuburan Kampung Tamoi kira-kira jam 11:50 pagi pada 23 November 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27 yang memperuntukkan minimum lima tahun penjara dan sebatan, maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditahan oleh sepasukan anggota Biro Kawalan Narkotik (BKN) di mana mereka menemui dua paket plastik yang mengandungi bahan jernih pada tertuduh.

Bahan jernih itu setelah dianalisis didapati mengandungi 2.0915 gram Methylamphetamine.

Tertuduh memberitahu dia diminta oleh seorang lelaki bernama ‘Bob’ untuk menghantar dadah itu kepada seorang lagi lelaki bernama ‘Mamat’ yang mana dia akan mendapat bayaran untuk setiap penghantaran yang dibuat.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa BKN, Ainorazimah binti Haji Zabidi.

ARTIKEL YANG SAMA