Kerana minat, mudahkan pekerjaan

Kerana minat, mudahkan pekerjaan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Sayang dan minat kepada haiwan memudahkan pekerja di Zoo Negara menjalankan tugasan seharian sebagai penjaga kandang zoo.

Menurut Abdul Khalid Putra, 26, minat membela haiwan telah lama wujud dalam dirinya dan dia berasa selesa dengan pekerjaannya sebagai penjaga kandang di Zoo Negara sejak hampir lima tahun.

“Kalau kita minat dan suka dengan pekerjaan ini pasti rasa seronok untuk lakukan setiap hari kerana ia memudahkan untuk mengurus haiwan di sini seperti bagi makan serta rawatan ketika sakit,” katanya kepada Bernama.

Rutin harian kerja mulai 8 pagi hingga 5 petang Abdul Khalid termasuk memeriksa keadaan haiwan dan jika sakit, ia dihantar kepada pegawai veterinar untuk rawatan.

Abdul Khalid berkata kandang haiwan juga perlu dicuci setiap hari sementara haiwan berkenaan terutama haiwan liar diletakkan di kandang lain demi keselamatan pekerja kandang.

“Haiwan-haiwan ini diberi makan dua kali sehari iaitu pagi dan petang selain aktiviti tertentu dijalankan bagi mengaktifkan pergerakan mereka,” kata Abdul Khalid. Pengalaman paling menyeronokkan baginya ialah menjaga anak badak air sejak lahir hingga ke usia empat tahun sekarang.

Para pelancong yang mengadakan lawatan ke Zoo Negara baru-baru ini. - Bernama
Para pelancong yang mengadakan lawatan ke Zoo Negara baru-baru ini. – Bernama

“Saya dah serasi dengan anak badak air ini, saya boleh peluk dan main-main dengan dia, malah saya gelarnya dengan panggilan Bobby setiap kali nak bagi makanan atau rawatan,” katanya.

Abdul Khalid berkata tingkah laku haiwan juga perlu dikaji termasuk mengetahui bila ia marah atau gembira.

“Lama-kelamaan ia mula mengenali pekerja kandang yang menguruskan mereka,” katanya.

Katanya lagi, pengalaman bekerja sebagai penjaga kandang zoo turut dipraktikkan di kampung terutama ketika menguruskan haiwan seperti monyet yang menceroboh rumah penduduk.

Abdul Khalid yang turut membela ku-cing berkata haiwan di Zoo Negara sudah seperti haiwan belaannya sendiri kerana menguruskannya secara dekat setiap hari. – Bernama