‘Kerana Sebiji Epal’ bawa tuah

‘Kerana Sebiji Epal’ bawa tuah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 14 April – Dengan cerita bertajuk ‘Kerana Sebiji Epal’, Dayang Nur Amal Syahirah binti Abdullah Kamsani dari Sekolah Rendah Tutong Kem menjuarai Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong, yang diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

Manakala itu, Dayang Nurul Alya Amalina @ Nur Aqilah Batrisya binti Abdul Hamid dari Sekolah Rendah Tutong Kem di tempat kedua dan diikuti oleh Awang Najib bin Abdullah dari Sekolah Rendah Muda Hashim Tutong di tempat ketiga.

Johan peraduan membawa pulang wang tunai $500, piala dan sijil penyertaan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai $400 dan $300 berserta piala dan sijil penyertaan.

Sementara itu, peserta-peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai $100 setiap seorang dan sijil penyertaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah pagi ialah Pegawai Pentadbir Pelatih Jabatan Daerah Tutong, Dayang Izzaty Amanina binti Haji Awang Mohammad selaku wakil peribadi Pegawai Daerah Tutong.

Dayang Izzaty Amanina menyampaikan hadiah kepada Dayang Nur Amal Syahirah yang menjuarai Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong.
Dayang Izzaty Amanina menyampaikan hadiah kepada Dayang Nur Amal Syahirah yang menjuarai Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong.
Antara peserta yang mengikuti Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong.
Antara peserta yang mengikuti Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong.

Seramai sembilan orang peserta menyertai peraduan berkenaan yang merupakan salah satu projek tahunan anjuran Bahagian Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sejak tahun 1983 lagi.

Peraduan ini terbuka kepada semua kanak-kanak warganegara Brunei Darussalam dan penduduk tetap yang berumur lapan hingga 12 tahun, yang menjadi ahli Perkhidmatan Perpustakaan Kanak-kanak, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ia antara lain bertujuan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan khususnya dalam program pembangunan negara.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk semangat membaca sekali gus memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, di samping dijadikan sebagai arena latihan kepada kanak-kanak untuk mengasuh bakat mereka agar mereka lebih berani bercakap di hadapan khalayak ramai.

ARTIKEL YANG SAMA