Kerani lepas tuduhan

Kerani lepas tuduhan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Seorang kerani di Jabatan Buruh dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Hajah Latifah binti Haji Gharif, 49, didapati tidak bersalah selepas perbicaraan oleh Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman yang turut memutuskan bahawa defendan sebenarnya tidak mengetahui bahawa dokumen itu adalah palsu.

Hajah Latifah sebelum ini didakwa menggunakan tawaran palsu untuk ‘Skim Saliran Kampung Jangsak – Fasa 2’ sebagai menambah bilangan kuota pekerja asing untuk Syarikat Kontraktor Pasang Raya Jaya (KPRJ) pada 3 Januari 2011.

KPRJ merupakan syarikat yang ditubuhkan atas nama Hajah Latifah namun telah dijual kepada Betty Chong Moon Yoon pada 2010.

Semasa perbicaraan, bukti menunjukkan bahawa tawaran sebenar telah diberikan kepada Normila Sdn Bhd untuk jumlah melebihi $2 juta.

Betty Chong ketika dipanggil untuk memberikan keterangan memberitahu mahkamah bahawa dia diberi salinan tawaran yang kononnya untuk KPRJ oleh seorang jurutera daripada KPRJ bernama Atiqur Rahman.

Betty Chong yang tidak mengesyaki bahawa salinan itu telah dipalsukan kemudian memberikannya kepada Hajah Latifah untuk proses membuat permohonan tambahan kuota pekerja.

Dalam penghakimannya, Majistret Kanan mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Hajah Latifah.

Pihak pendakwaan didapati gagal memanggil Atiqur Rahman sebagai saksi mereka memandangkan dia adalah individu yang boleh menjelaskan kepada mahkamah bagaimana dia boleh memiliki dokumen palsu itu.

Majistret Kanan turut memutuskan bahawa keterangan daripada Hajah Latifah sepanjang perbicaraan adalah konsisten dan dia tidak mempunyai pengetahuan bahawa salinan tawaran yang diberikan itu adalah palsu.

ARTIKEL YANG SAMA