Kerapu gergasi, rezeki tahun baru

Kerapu gergasi, rezeki tahun baru

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 5 Jan – Seorang nelayan dari Kampung Baru Kuala Berawan di sini menerima hadiah tahun baru paling manis dalam hidupnya apabila berjaya menaikkan seekor ikan keratang (kerapu) gergasi seberat 75 kilogram di perairan negara malam tadi.

Nelayan terbabit, Reduan Uteng, 37, berjaya menangkap ikan kerapu gergasi itu sekitar jam 9 malam sebaik memasang pukatnya sekitar jam 6:15 petang di perairan negara yang terletak sekitar 40 minit perjalanan dari rumahnya.

Menurut Reduan, ikan kerapu gergasi tersebut merupakan ikan terbesar yang pernah ditangkapnya sejak bergelar nelayan seawal usia 18 tahun.

Reduan tidak menyangka berjaya menangkap ikan kerapu gergasi malam kelmarin.
Reduan tidak menyangka berjaya menangkap ikan kerapu gergasi malam kelmarin.

“Saya hanya sempat memanjatkan syukur sebaik melihat seekor ikan kerapu gergasi tersangkut di dalam pukat, sebaik melabuhkan pukat jam 6:15 petang,” ujarnya sambil memberitahu yang beliau terpaksa berhempas pulas untuk menaikkan ikan berkenaan ke dalam botnya.

Menurutnya lagi, akibat saiz ikan yang terlalu besar dan berat, beliau terpaksa meminta tolong nelayan lain yang berada di perairan sama untuk menaikkan kerapu ke dalam botnya.

Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang peniaga berbangsa Cina yang membelinya pada harga lebih RM3,000.