Kerber juarai Terbuka Australia

Kerber juarai Terbuka Australia

MELBOURNE, 31 Jan – Angelique Kerber berkata impiannya menjadi nyata dalam tempoh dua jam di Rod Laver Arena semalam selepas mengecewakan juara bertahan Serena Williams 6-4, 3-6, 6-4 untuk menakluki Terbuka Australia.

Pemain berusia 28 tahun itu dianggap ‘orang luar’ pada final grand slam pertamanya namun mengejutkan juara Melbourne enam kali itu dengan aksi penuh inspirasi untuk menjadi pemenang pertama Grand Slam dari Jerman selepas Steffi Graf di Roland Garros pada 1999.

“Impian saya menjadi kenyataan malam ini,” kata pilihan ketujuh itu dengan penuh emosi sewaktu penyampaian trofi di gelanggang.

“Saya bekerja keras sepanjang hidup dan kini berada di sini. Sekarang saya boleh katakan diri saya ialah juara grand slam dan bunyinya mungkin agak gila.

“Saya fikir kadang kala bukan mudah. Tapi saya mempunyai keluarga yang hebat dan pasukan terbaik di dunia. Kepada anda semua, semua peminat saya di seluruh dunia terima kasih.”

Angelique Kerber bergambar bersama trofi yang dimenanginya. - Reuters
Angelique Kerber bergambar bersama trofi yang dimenanginya. – Reuters

Angelique turut meluahkan perasaan terhadap Serena, juara yang tidak menjadi dan belum pernah tewas pada final di Melbourne. Serena turut memasang impian untuk menyamai rekod Steffi pada era terbuka dengan 22 gelaran grand slam.

“Anda adalah inspirasi kepada ramai orang, ramai pemain tenis muda,” kata Angelique.

“Anda seorang juara yang hebat, anda seorang yang luar biasa. Jadi tahniah terhadap apa yang anda lakukan.”

Biarpun semalam final pertama perlawanan grand slam buat Angelique manakala Serena beraksi untuk ke-25, dia tetap menerima kekalahannya dengan hati terbuka.

“Angie, tahniah,” kata pemain Amerika Syarikat berusia 34 tahun itu. “Anda bermain baik. Anda berhak menang. Anda memberikan yang terbaik di kejohanan ini. Saya begitu gembira untuk anda dan harap anda menikmati saat ini.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA