Kerber, Konta ke separuh akhir

Kerber, Konta ke separuh akhir

MELBOURNE, 27 Jan – Pemain Jerman, Angelique Kerber mencipta kejutan apabila menewaskan juara dua kali, Victoria Azarenka, 6-3, 7-5 untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia. Ia adalah kejutan terbesar ketika kemenangan itu adalah yang pertama diraih pilihan ketujuh kejohanan berkenaan ke atas Azarenka.

Sebagai rekod, Kerber tewas dalam semua enam pertemuan dengan Azarenka sebelum ini. “Saya tidak boleh terangkan. Sebelum ini rekod pertemuan 0-6. Untuk perlawanan ini, saya hanya katakan ‘turun bermain dan tundukkan dia. Sungguh gembira dapat raih kemenangan pertama.

“Saya cuba melakukan servis dengan baik dan beraksi lebih agresif berbanding perlawanan terdahulu. Sesuatu yang hebat untuk layak ke separuh akhir,” kata Kerber.

Sementara itu, Johanna Konta muncul pemain wanita Britain pertama mara ke separuh akhir Grand Slam dalam tempoh 30 tahun, selepas menewaskan pemain China, Zhang Shuai 6-4 6-1 di suku akhir, di sini, sebentar tadi.

Pemain yang menghuni ranking ke-47 dunia itu memastikan kemaraan dalam tempoh satu jam 23 minit, ketika dilihat lebih menguasai permainan berbanding Zhang yang juga pemain ranking ke-133 dunia.

Pemain wanita terakhir Britain yang layak ke separuh akhir Grand Slam sebelum ini adalah Jo Durie pada saingan Terbuka Amerika Syarikat 1983. – AFP

Angelique Kerber berjabat tangan bersama Victoria Azarenka selepas perlawanan tersebut. – Reuters
Angelique Kerber berjabat tangan bersama Victoria Azarenka selepas perlawanan tersebut. – Reuters