Kerber mara suku akhir WTA Stuttgart

Kerber mara suku akhir WTA Stuttgart

STUTTGART, 21 April – Jaguh Terbuka Australia Angelique Kerber berdepan saingan sengit pada aksi pembukaan pusingan kedua sebelum menewaskan rakan senegara, Annika Beck sekaligus mara ke suku akhir kejohanan WTA Stuttgart, semalam.

Kerber yang juga juara bertahan permukaan tanah liat di Stuttgart memerlukan lebih dua jam untuk mengesahkan kemenangan 4-6, 6-3, 6-1 ke atas Beck selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.

Kedua-dua pemain ini pernah berentap sebelum ini di pusingan keempat Terbuka Australia yang menyaksikan Kerber mudah menewaskan Beck menerusi ‘straight set’.

“Sentiasa sukar apabila menentang pemain senegara kerana anda begitu arif mengenai mereka,” kata Kerber yang bergandingan dengan Beck untuk merakam kemenangan ke atas Romania pada aksi playoff Fed Cup, minggu lalu.

“Saya gembira kerana mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini.” Kemenangan Kerber menandakan hari kegembiraan buat pemain Jerman apabila dua lagi pemain Jerman, Andrea Petkovic serta Julia Goerges turut memenangi perlawanan masing-masing di pusingan pertama.

Terdahulu, finalis Terbuka Australia 2015, Roberta Vinci melepasi cabaran bekas 10 pemain terbaik dunia, Ekaterina Makarova untuk merakam kemenangan 7-6 (7/3), 4-6, 6-4.

Bagi aksi di pusingan kedua, pemain Itali, Vinci bakal bertemu juara Stuttgart 2011, Goerges yang menyingkirkan Alize Cornet 6-4, 6-0 hanya dalam tempoh sejam 16 minit.

Petkovic yang bergelut akhirnya menewaskan Kristian Mladenovic 6-2, 6-4 untuk empat kali pertembungan berturut-turut dan dia akan menentang pilihan utama, Agnieszka Radwanska di pusingan kedua.

Pilihan ketiga kejohanan, Garbina Muguruza, turut mara ke separuh akhir selepas menundukkan pemain Hungary, Timea Babos 6-2, 6-2.

Kejutan dilakukan apabila pilihan kelapan, Lucie Safarova tumbang di tangan rakan senegaranya, Karolina Pliskova 7-6 (7/4), 4-6, 7-5 dan menempah perlawanan di pusingan kedua bertemu bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA