Kerber, Muguruza, Carla tersungkur

Kerber, Muguruza, Carla tersungkur

INDIAN WELLS, 13 Mac (AFP) – Juara Terbuka Australia Angelique Kerber, pilihan keempat Garbine Muguruza dan bintang Sepanyol Carla Suarez Navarro, kesemuanya tersingkir di pusingan kedua Indian Wells, kelmarin.

Pemain nombor dua dunia dan pilihan kedua, Kerber tersingkir di kejohanan bersama WTA dan ATP itu, tewas 7-5, 7-5 kepada pemain Republik Czech, Denisa Allertova.

Bekas finalis Wimbledon, Muguruza turut dikecewakan pemain Amerika Christina McHale 7-5, 6-1 manakala pilihan keenam Suarez Navarro menarik diri daripada kejohanan selepas cedera buku lali kanan sebelum perlawanan berdepan Daria Kasatkina.

Kerber menewaskan Serena Williams di pentas final Terbuka Australia Januari lalu untuk meraih kemenangan Grand Slam pertama dalam kariernya. Namun masalah utama membelenggu Kerber dalam Jelajah WTA adalah tahap konsisten.

Beliau bermain di tahap terbaik di Australia namun kemudian tewas dalam perlawanan pertamanya di Doha.

Kerber ketika beraksi menentang Denisa pada Kejohahan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells. - Reuters
Kerber ketika beraksi menentang Denisa pada Kejohahan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells. – Reuters

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut dalam perlawanan pembukaannya di Indian Wells.

Pemain berusia 28 tahun dari Jerman itu berkata, sandaran terhadap dirinya kini lebih besar selepas mengecap kejayaan di Australia.

“Tekanan dihadapi berbeza sekiranya dibandingkan dengan beberapa bulan lalu,” katanya.

“Saya akan cuba belajar daripada pengalaman ini. Minggu yang sibuk buat saya. Ia situasi yang baharu buat saya dan saya perlu membiasakan diri dengannya.”

Sementara itu, Allertova, 23, mara ke pusingan ketiga kejohanan dan dijadual berdepan pemain Great Britain, Johanna Konta.

Pertembungan antara Kerber dan Allertova adalah yang pertama antara mereka dan penampilan pemain Republik Czech dalam perlawanan utama di Indian Wells itu juga adalah yang pertama buat dirinya.

ARTIKEL YANG SAMA