Kerber sambar Grand Slam ke-2

Kerber sambar Grand Slam ke-2

NEW YORK, 11 Sept – Angelique Kerber memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS), sekali gus menandakan kebangkitannya untuk merebut gelaran nombor satu dunia selepas mengatasi Karolina Pliskova, awal pagi tadi.

Lebih manis kemenangan itu secara tidak langsung menjadi koleksi gelaran kedua Grand Slam untuk dirinya pada tahun ini.

Pemain Jerman yang juga pilihan kedua kejohanan, bangkit daripada ketinggalan di set ketiga untuk menewaskan pilihan ke-10 dari Republik Czech itu 6-3, 4-6, 6-4.

Kejayaan baharunya itu menambah koleksi gelaran yang diraihnya di Terbuka Australia pada Januari lalu.

“Amat menakjubkan untuk meraih gelaran Grand Slam kedua dalam satu tahun,” kata Kerber. “Ia adalah tahun terbaik dalam hidup saya.

Angelique Kerber yang muncul juara kejohanan Terbuka AS 2016. – AFP
Angelique Kerber yang muncul juara kejohanan Terbuka AS 2016. – AFP

“Semuanya bermula di sini buat saya di New York lima tahun lalu ketika saya mara ke pentas separuh akhir dan sekarang saya berada di sini dengan trofi. Ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Pemain kidal berusia 28 tahun yang menewaskan Serena Williams di final di Melbourne dan tewas kepada pemain terbaik Amerika Syarikat itu di pentas sama di Wimbledon, dijadual secara rasminya akan berganjak ke kedudukan pertama dunia, esok.

“Untuk menjadi nombor satu dan meraih gelaran Grand Slam sentiasa menjadi impian saya sejak masih kecil lagi. Ia banyak memberi makna kepada saya,” katanya – AFP