Kereta api dikosongkan selepas lelaki berkurung dalam bilik air

Kereta api dikosongkan selepas lelaki berkurung dalam bilik air

THE HAGUE, 18 Sept (AFP) – Polis Belanda mengosongkan kereta api antarabangsa Thalys dan sebahagian stesen Rotterdam hari ini selepas seorang lelaki mengunci dirinya dalam bilik air kereta api dan enggan untuk keluar.

Lelaki itu ditangkap selepas dua jam apabila sebuah pasukan SWAT yang membawa seekor anjing masuk ke dalam stesen itu, kata polis Belanda.

Separuh daripada platform dan kebanyakan stesen tengah telah dikosongkan semasa operasi itu untuk menangkap lelaki berkenaan, yang motifnya masih belum jelas.

“Dengan bantuan pasukan penangkapan bersama anjing, lelaki itu telah dibawa keluar dari bilik air dan ditangkap di Thalys,” kata polis Belanda dalam satu mesej yang dihantar ke Twitter.

Satu skuad bom polis kemudian bergerak masuk untuk memeriksa gerabak bagi kemungkinan terdapatnya bahan letupan, sementara pegawai memeriksa bagasi lelaki berkenaan dalam kereta api itu.

Insiden itu muncul kurang sebulan selepas seorang suspek jihad melepaskan tembakan ke arah kereta api Thalys dari Amsterdam ke Paris, mencederakan dua orang.