Kereta Brunei terbakar di Limbang

Kereta Brunei terbakar di Limbang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 5 Julai – Seorang pemandu Brunei dan dua penumpang lain mengalami detik cemas selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga lagi kenderaan sebelum terbakar di  kilometer 11 Jalan Pandaruan berhampiran Kampung Tabahan di sini petang kelmarin, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, kereta yang dipandu jenis Toyota Corona itu dalam perjalanan menuju ke bandar Limbang, manakala tiga kenderaan lain dari arah  bandar Limbang menuju ke Brunei.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil siasatan awal mendapati kereta Toyota Corona itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua kenderaan Brunei jenis Mitsubishi dan Suzuki Swif dan sebuah kereta Malaysia,jenis Myvi.

Pemandu kereta berkenaan, Awang Muhamad Alex,mengalami kecederaan ringan,manakala dua penumpang lain Awang Zulhazrin dan Dayang Nurul Vayra tidak mengalami kecederaan selepas berjaya keluar daripada kenderaan hasil bantuan orang ramai dan anggota keselamatan sebelum kenderaan itu terbakar.

Orang ramai berada di lokasi menyaksikan kejadian itu.
Orang ramai berada di lokasi menyaksikan kejadian itu.

Superintenden Mohd Bukhori menjelaskan lagi kereta tersebut kemudiannya terbakar dan rentung selepas kemalangan itu. Bagaimanapun tiada kecederaan parah dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Limbang, Kurong Beki berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 6:18 petang kelmarin.

“Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi yang jauhnya 11 kilometer dari balai dan kita tiba  12 minit kemudiannya,” katanya.

Turut berada di lokasi ialah Ketua Bomba Zon Limbang, Edmund Dmahai Amboh.