Kereta dijilat api, wanita selamat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Seorang perempuan berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian yang berlaku di kawasan Perindustrian Beribi II, Gadong, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melaporkan bahawa Pusat Gerakan JBP telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7:07 pagi dan mengerahkan dua buah jentera dari Balai Bomba Beribi dengan seramai sembilan orang anggota JBP yang diketuai oleh ABK 554 Haji Nordin.

Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kereta di tempat letak kereta didapati telah terbakar hampir keseluruhannya dan anggota JBP segera memadamkan kebakaran tersebut yang mengambil masa empat minit untuk dikawal.

Menurut kenyataan yang diberikan, punca api adalah daripada kerosakan di bahagian sistem penyejuk minyak enjin kereta dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

JBP menyarankan orang ramai agar sentiasa memastikan kereta dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan sentiasa memastikan keadaan kenderaan pada tahap yang baik (preventive maintenance).

Kereta yang terbakar di kawasan Perindustrian Beribi II, Gadong, pagi kelmarin.