Kereta dipecah masuk, wang tunai dibawa lari

Kereta dipecah masuk, wang tunai dibawa lari

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Kejadian curi tidak mengira masa apabila sebuah kereta dipecah masuk dan wang tunai serta barang berharga dicuri, tatkala umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari keempat, semalam,

Semasa kejadian yang berlaku di kawasan letak kereta belakang bangunan berhampiran mesin ATM di Bangunan Centrepoint Gadong, pagi kelmarin, pemilik kereta berkenaan yang merupakan seorang pekerja di pusat membeli-belah di Gadong dan suaminya baru sahaja tiba di tempat beliau bekerja.

Kira-kira pukul 7 pagi, mangsa pergi ke tempat kerja yang tidak jauh dari tempat kejadian, manakala suami mangsa pergi ke kedai makan. Sekitar pukul 7:45 pagi mangsa mendengar penggera keselamatan kereta berbunyi selama beberapa saat sahaja.

“Pada awalnya saya tidak merasa curiga apabila penggera keselamatan kereta berbunyi, kerana ia berbunyi hanya sekejap sahaja, tetapi saya masih merasa tidak sedap hati dan terus memeriksa ke tempat letak kereta,” ujar mangsa ketika ditemu bual.

p06-3_20160711

Setelah sampai ke tempat kejadian, beliau mendapati cermin kereta sudah pun dipecah dan wang tunai sekitar $2,500, telefon bimbit, kad pengenalan pintar, dan banyak lagi turut dibawa lari

Beliau segera melaporkan kejadian ke balai polis berdekatan, dan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei sedang membuat siasatan ke atas kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian dan perkara ini masih lagi dalam siasatan pihak polis, ujar mangsa.

Pihak Pasukan Polis Diraja Brunei sebelum ini mengingatkan kepada orang ramai sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, supaya meningkatkan keselamatan dengan memastikan kereta diletakkan di tempat yang selamat dan juga memastikan tidak menyimpan barang yang berharga di dalam kereta.

ARTIKEL YANG SAMA