Kereta dipercayai milik Kevin Anthony Morais ditemui terbakar

Kereta dipercayai milik Kevin Anthony Morais ditemui terbakar

HUTAN MELINTANG, 6 Sept (Bernama) – Kereta yang dipercayai milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais ditemui dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya menemui kereta itu kira-kira pukul 10 pagi. “Kereta itu terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan raya. Namun jenis kereta itu belum dapat disahkan modelnya disebabkan keadaannya yang terbakar seratus peratus.

“Model kereta itu nampak seperti Proton Perdana atau Honda Accord,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.

Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memeriksa kereta yang dipercayai milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang ditemui terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan pakar untuk mengesahkan model kereta berkenaan.

Namun tiada mangsa ditemui dalam kereta berkenaan, tambahnya. Kevin dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya. Beliau dilaporkan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

ARTIKEL YANG SAMA