Kereta elektrik Proton masih peringkat prototaip

Kereta elektrik Proton masih peringkat prototaip

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu projek pembangunan kereta elektrik Proton masih pada peringkat prototaip.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia sedang melalui beberapa ujian intensif membabitkan kualiti dan ciri keselamatan bagi memastikan kereta itu mematuhi piawaian antarabangsa.

“Ujian itu juga mengambil kira kehendak pelanggan serta memastikan kereta elektrik dikeluarkan pada harga yang berpatutan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat).

Mahdzir berkata Proton juga menghadapi cabaran seperti syarikat pengilang peralatan asal yang lain dalam membangunkan teknologi baharu iaitu kos pelaburan tinggi dan tempoh penyelidikan lebih lama.

“Kerajaan menyokong penuh usaha syarikat kereta nasional dalam membangunkan kereta elektrik dan usaha sama rapat antara kerajaan, pihak pengeluar, pembekal utiliti dan pihak-pihak berkepentingan lain sangat diperlukan bagi mempromosi penggunaan kereta elektrik, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju dan hab pengeluaran kereta elektrik di ASEAN.

“Ia selaras dengan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik Negara yang sedang disediakan oleh pihak kementerian,” katanya.