Kereta kawalan jauh kutip peralatan Sukan SEA di Singapura

Kereta kawalan jauh kutip peralatan Sukan SEA di Singapura

SINGAPURA, 4 Mei (Bernama) – Penonton yang menyaksikan Sukan SEA di Stadium Nasional di sini pada Jun usah hairan jika melihat kereta kawalan jauh (RC) berlegar sana sini di atas padang semasa acara olahraga berlangsung.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC) dan Kereta Rasmi Sukan SEA ke-28, Volvo hari ini mempamerkan versi kecilan Volvo SUV iaitu All-New Volvo XC90 sebagai unit mengutip peralatan dalam acara olahraga semasa Sukan SEA ke-28.

Kereta kawalan jauh berukuran 90cm X 45cm dan seberat 15kg akan digunakan untuk mengutip lembing, tukul serta cakera di padang dan menghantarnya kembali ke garisan permulaan.

Penggunaan kereta kawalan jauh All-New Volvo XC90 akan mempercepatkan proses mengembalikan peralatan dan membolehkan atlet menamatkan lontaran sejurus selepas itu.

Kereta itu mempunyai pendakap khas dengan klip yang dipasang untuk memegang lembing dengan kemas dan tempat pemegang berlapik dengan lekuk bagi tukul besi serta cakera.

Bob Gambardella, Ketua NOC dan Sukan, SINGSOC berkata: “penggunaan kereta kawalan jauh All-New Volvo XC90 adalah cara berinovatif untuk meningkatkan kecekapan proses semasa acara lontaran dalam olahraga.

“Ia mengurangkan keperluan tenaga manusia dan membolehkan para pegawai yang menjaga masa membuat persiapan untuk lontaran seterusnya, mempercepatkan pertukaran antara atlet. Ini diperkenalkan kali pertama pada Sukan SEA, dan SINGSOC berasa gembira bekerjasama dengan Volvo sebagai rakan kongsi pada temasya ini,” katanya semasa pengenalan kereta RC itu di sini hari ini.

Kereta All-New Volvo XC90 itu mampu mencapai kelajuan sehingga 100 km/sejam dan meliputi sehingga 4,000 meter sehari. Ia dikendalikan sukarelawan terlatih termasuk mereka yang mengendalikan kereta kawalan jauh sebagai hobi.

ARTIKEL YANG SAMA