Kereta rempuh kedai

Kereta rempuh kedai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Bunyi dentuman kuat telah mengejutkan pekerja-pekerja sebuah kedai di Kampung Serusop sehingga diarahkan bersembunyi, namun hanya untuk mendapati bahawa sebuah kereta telah merempuh pintu utama kedai berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3:35 petang itu, pekerja kedai berkenaan sedang melayani pelanggan apabila tiba-tiba dikejutkan oleh satu bunyi dentuman kuat dari depan kedai mereka.

Salah seorang pekerja kedai, Mulyano memberitahu, sejurus mendengar bunyi dentuman itu beliau bertindak mengarahkan rakan sekerjanya yang lain bersembunyi sementara dia memberanikan diri untuk memeriksa kejadian.

Beliau mendapati sebuah kereta telah merempuh pintu utama kedai dan beberapa orang kanak-kanak berada di dalam kereta itu dengan salah seorang daripadanya berusia sekitar 9 dan 10 tahun berada di tempat pemandu kereta.

Menurut beliau, ibu kepada kanak-kanak berkenaan meninggalkan anak-anaknya di dalam kereta untuk membeli Kad Easi di kedai sebelah tanpa mematikan enjin kereta.

Gambar kereta merempuh sebuah kedai di Serusop yang tersebar melalui media sosial.
Gambar kereta merempuh sebuah kedai di Serusop yang tersebar melalui media sosial.

“Alhamdulillah tidak ada seorang pekerja atau pelanggan yang cedera, hanya kerosakan pintu dan beberapa barang di dalam kedai sahaja,” ujar Mulyano.

Pasukan Polis Diraja Brunei ketika dihubungi mengesahkan bahawa Balai Polis Berakas telah menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan sebuah kereta yang dimiliki oleh seorang wanita tempatan berumur 36 tahun di kawasan Blok D Kompleks Serusop.

Bagaimanapun, mereka memberitahu bahawa punca kemalangan masih dalam siasatan. Turut berada di tempat kejadian ialah pasukan paramedik dan Polis Diraja Brunei, manakala itu, pemilik kedai berkenaan berada di luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA