Kereta retro dapat sambutan

Kereta retro dapat sambutan

Oleh Wani Roslan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Lebih 200 buah kereta retro dan kereta lama dari dalam serta luar negara kelihatan membanjiri kawasan sepanjang Jalan Pretty, Jalan Pemancha dan Jalan Elizabeth II, di ibu negara, dalam acara Perhimpunan Kereta Retro Brunei (BRG), hari ini.

Perhimpunan anjuran Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pameran kereta yang diadakan dari pukul 8:00 pagi hingga 4:00 petang itu bertujuan untuk menyatukan semua pemilik kereta lama, klasik dan vintaj di bawah satu persatuan atau pertubuhan selain mengeratkan silaturahim antara pemilik dan mana-mana kumpulan yang ada di negara ini. Ia turut menarik penyertaan dari Miri, Limbang dan Kuching.

Selain itu juga, ia dihasratkan untuk memberikan peluang kepada para pemilik kereta lama bertukar-tukar fikiran dan pandangan di samping berkongsi pengalaman antara satu dan lainnya yang mempunyai minat sama.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menaiki salah satu kereta pameran.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menaiki salah satu kereta pameran.
Di antara kereta-kereta retro yang dipamerkan di acara tersebut.
Di antara kereta-kereta retro yang dipamerkan di acara tersebut.
Salah seorang peserta luar mempamerkan keretanya.
Salah seorang peserta luar mempamerkan keretanya.

Dalam temu bual bersama Presiden Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik, Awang Mohd Riff Rahimie Alipin menjelaskan, “Kami menjemput pemilik kereta klasik dari tahun 1989 dan ke bawah kerana kereta ini amat jarang dijumpai di jalan, dan setiap kereta retro dipamerkan di sini, mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri seperti penampilan luaran dan dalaman serta prestasi enjin.

“Perhimpunan ini juga diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun, dan Alhamdulillah! kami menerima sambutan yang amat baik daripada orang awam, terutama daripada pemilik-pemilik kereta retro dari Brunei Darussalam dan Malaysia.”

Perhimpunan sehari itu menyaksikan puluhan orang membanjiri acara itu termasuk para peminat kereta untuk melihat lebih dekat kereta-kereta retro yang jarang lagi dilihat daripada pelbagai pembuat kereta termasuk Toyota, Volkswagen, Suzuki, Honda dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA