Kereta tanpa pemandu

Kereta tanpa pemandu

YOKOHAMA, 30 Nov (Agensi) – Kenderaan elektrik (EV) dan pemanduan autonomous iaitu kereta tanpa kawalan pemandu bakal menjadi gabungan terbaik untuk teknologi masa depan yang kini mula diperkenalkan kepada dunia oleh pengeluar kenderaan Nissan yang turut menetapkannya sebagai hala tuju dalam setiap penghasilan model terbaru mereka untuk pasaran akan datang.

Sebagai antara pelopor penciptaan kenderaan EV melalui model Nissan Leaf, kereta sedan elektrik itu sudah terjual 195,000 unit di seluruh dunia, sekali gus membuktikan teknologi itu semakin diterima ramai dan menjadi pilihan sebagai kenderaan berulang-alik ke tempat kerja atau perjalanan dalam bandar.

Presiden Nissan Motor Asia Pasifik dan Timbalan Presiden Korporat Nissan Motor, Toru Hasegawa berkata, kenderaan elektrik adalah satu opsyen terbaik dalam menggantikan sumber bahan api sedia ada, malah menjimatkan serta tiada pengeluaran asap manakala pemanduan autonomous adalah gabungan yang ideal untuk setiap kereta konsep yang akan dihasilkan nanti. “Nissan Leaf boleh dipandu sejauh 280 kilometer dengan sekali caj dan kami sedang meluaskan teknologi ini kepada model kenderaan Nissan lain secara berperingkat untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Toru Hasegawa (barisan depan enam dari kiri) bersama media dari 10 negara Asia dan Oceania sempena program Nissan 360 di Yokohama, Jepun.
Toru Hasegawa (barisan depan enam dari kiri) bersama media dari 10 negara Asia dan Oceania sempena program Nissan 360 di Yokohama, Jepun.

“Walaupun ia lebih banyak terjual di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat, kami tetap memberi tumpuan terhadap pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia yang kini semakin berkembang pesat dengan peningkatan jualan kenderaan Nissan,” katanya kepada rombongan media yang mengikuti program Nissan 360 di ibu pejabat Global Nissan di Yokohama, Jepun, semalam.

Beliau berkata, pihak pengedar Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) misalnya, sentiasa melakukan kajian dan aktiviti pemasaran terbaik untuk setiap rangkaian model termasuk Leaf yang kini sudah dijual sebanyak 24 unit dengan lebih 35 stesen mengecaj di seluruh negara sejak diperkenalkan 2013.