Kereta terbakar semasa Operasi Pencegahan Jenayah dijalankan

Kereta terbakar semasa Operasi Pencegahan Jenayah dijalankan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Jun – Sebuah kereta telah terbakar di kawasan Lebuh raya Sungai Liang-Telisai, di sini, ketika anggota Balai Polis Sungai Liang dan ahli Pengawasan Kejiranan Mukim Liang menjalankan Operasi Pencegahan Jenayah, malam tadi.

Pemandu kereta terbabit bersama penumpanganya, bagaimanapun, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berikutan kejadian itu, rombongan operasi berkenaan telah membantu mengawal lalu lintas di tempat kejadian.

Pihak polis melaporkan bahawa kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun itu terlanggar besi penghadang jalan sebelum terbakar, bagaimanapun punca kejadian sebenar masih dalam siasatan pihak polis.

Sementara itu, Balai Bomba Sungai Liang, hari ini, melaporkan bahawa pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12:16 tengah malam semalam, dan telah mengerahkan enam orang anggota bersama dua buah jentera bomba dan ambulans bomba dengan diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai, Awang Erang anak Japan.

Sebuah kereta yang terbakar di kawasan Jalan Lebuhraya Sungai Liang-Telisai.
Sebuah kereta yang terbakar di kawasan Jalan Lebuhraya Sungai Liang-Telisai.

Menurut laporan itu, semasa ketibaan anggota bomba dan penyelamat ke tempat kejadian, api masih menyala namun berjaya dikawal dalam masa kira-kira lima minit. Pemandu dan penumpang dikatakan telah menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba.

Dalam pada itu, Operasi Pencegahan Jenayah yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Soffian bin Haji Kipli berkenaan telah disertai oleh lima orang anggota Balai Polis Sungai Liang bersama dua orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1, dua lagi ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 2, dan tiga lainnya merupakan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang.

Operasi rondaan telah ditumpukan di sekitar kawasan Jalan Pantai Sungai Liang, kawasan Kampung Sungai Bakong, Kampung Sungai Taring Lumut, RPN Kampung Lumut dan kawasan Lebuh raya Liang-Badas Bypass.

Bagaimanapun, tiada sebarang perbuatan jenayah didapati semasa rondaan menggunakan kenderaan tersebut dijalankan, yang bermula kira-kira pukul 11:48 malam hingga 3:08 pagi tadi.

ARTIKEL YANG SAMA