Kerinci, dest...

Kerinci, destinasi pelancongan baru di Indonesia

BUNYI deburan air terjun dari satu sudut yang dikelilingi pepohon hijau dan paku-pakis liar tidak pernah putus daripada pendengaran pengunjung yang datang ke lokasi itu.

Air terjun Telun Berasap yang terletak di Desa Telun Berasap, Kabupaten Kerinci, Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia itu memang sudah terkenal sejak dahulu lagi. Ia tidak pernah putus daripada kunjungan manusia.

Air terjun yang menghempas ke dasar dari ketinggian kira-kira 50 meter itu membentuk dan menghasilkan wap serta buih putih di atas permukaan air yang mengalir deras. Untuk sampai ke destinasi pelancongan itu, para pelancong atau pelawat perlu berusaha keras dengan menuruni kira-kira 200 anak tangga yang berliku-liku sebelum dapat menikmati pemandangan alam yang terbentang indah.

Sumber air terjun Telun Berasap sebenarnya berasal dari Air Terjun Gunung Tujuh yang mengalir dari Danau Gunung Tujuh yang merupakan tasik tertinggi di Asia Tenggara. Perjalanan ke air terjun Telun Berasap mengambil masa kira-kira satu jam 45 minit dari Kota Sungai Penuh dengan berjalan kaki melalui Muara Labuh, Sumatera Barat.

Sektor pelancongan merupakan salah satu kekuatan dan keunikan Kabupaten Kerinci untuk menarik pelancong tempatan dan luar negara. Potensi pelancongan Kerinci amat besar kerana Kabupaten ini dianugerahkan dengan kekayaan alam yang sangat luar biasa dan diibaratkan sebagai ‘syurga’ yang baharu. Kekayaan dan keindahan panorama yang terdapat di Kerinci boleh dianggap seperti harta karun yang menanti untuk dibuka petinya.

Sektor pelancongan merupakan salah satu kekuatan dan keunikan Kabupaten Kerinci untuk menarik pelancong tempatan serta luar negara.
Sektor pelancongan merupakan salah satu kekuatan dan keunikan Kabupaten Kerinci untuk menarik pelancong tempatan serta luar negara.

Akses

Sebagai contoh, di sebalik kederasan air terjun Telun Berasap, terdapat sebuah gua yang cukup luas. Namun, disebabkan oleh keadaan air yang terlalu deras, belum ada seorang pun yang berupaya menyusurinya. Potensi pelancongan yang dimiliki bumi Kerinci memerlukan perhatian daripada pemerintah daerah, wilayah dan kerajaan pusat.

Penambahbaikan kepada kemudahan dan akses ke lokasi sangat diperlukan, begitu juga dengan promosi besar-besaran agar keindahan alam itu dapat terus dinikmati pelancong. Misalnya, air terjun Telun Berasap memerlukan penambahbaikan dan akses untuk ke lokasi tersebut. Pagar dan anak-anak tangga yang rosak di lokasi itu perlu dibaiki segera.

Begitu juga dengan tempat pelantar utama untuk melihat air terjun daripada jarak lebih dekat yang perlu dibaiki terutamanya atap dan bumbung yang kian dimamah usia dan selalu tercabut. Pengendali destinasi pelancongan itu juga perlu menambah kemudahan seperti membina jambatan gantung agar pengunjung boleh menyeberang dan turun ke bawah bagi melakukan aktiviti memancing.

Penambahbaikan ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu pakej pelancongan baharu iaitu pelancongan sambil memancing yang amat diminati ramai. Kabupaten Kerinci bukan sahaja terkenal dengan air terjun Telun Berasap tetapi mempunyai banyak lagi lokasi pelancongan alam lain yang sudah dikenali ramai.

Keindahan

Antaranya, Danau Gunung Tujuh yang terletak di Desa Pelompek yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan dengan berjalan kaki dari Telun Berasap. Danau Gunung Tujuh yang mempunyai ketinggian 1,950 meter dari aras laut itu sangat unik kerana dikelilingi oleh tujuh gunung iaitu Gunung Hulu Tebo, Gunung Hulu Sangir, Gunung Madura Besi, Gunung Lumut, Gunung Selasih, Gunung Jar Panggang dan Gunung Tujuh.

Air terjun Telun Berasap yang terletak di Desa Telun Berasap, Kabupaten Kerinci, Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia itu memang sudah terkenal sejak dahulu lagi.
Air terjun Telun Berasap yang terletak di Desa Telun Berasap, Kabupaten Kerinci, Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia itu memang sudah terkenal sejak dahulu lagi.
Potensi pelancongan Kerinci amat besar kerana Kabupaten ini dianugerahkan dengan kekayaan alam yang sangat luar biasa dan diibaratkan sebagai ‘syurga’ yang baharu.
Potensi pelancongan Kerinci amat besar kerana Kabupaten ini dianugerahkan dengan kekayaan alam yang sangat luar biasa dan diibaratkan sebagai ‘syurga’ yang baharu.

Kabupaten Kerinci juga memiliki satu lagi air terjun di Desa Pendung, Kecamatan Air Hangat yang dikenali sebagai air terjun Pendung. Perjalanan ke sana dengan berjalan kaki mengambil masa kira-kira sejam sambil menyusuri sungai dan hutan.

Selain itu, air terjun Pencaro Rayo yang terdapat di Desa Pulau Tengah, Kecamatan Keliling Danau, Kerinci begitu luar biasa kerana mempunyai ketinggian 150 meter dan airnya mengalir dari celah-celah tumbuh-tumbuhan serta pokok kecil.

Bagi individu yang gemarkan aktiviti mencabar, mereka perlu mengunjungi air terjun tersebut. Ini kerana mereka perlu menempuh cabaran melalui denai hutan.

Tidak kurang menarik di Kabupaten Kerinci ialah terdapat Gunung Kerinci setinggi 3,805 dari aras laut yang terkenal sebagai salah satu puncak tertinggi di Sumatera. Pada hari-hari terakhir tahun 2016 sahaja, lebih 230 pendaki direkodkan berjaya menawan gunung itu.

Bagaimanapun, pendaki tidak dibenarkan mendaki sehingga ke puncak teratas kerana pada masa itu keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan berada dalam status berjaga-jaga. Pendakian melalui Kayo Aro hanya dibenarkan sehingga ke perhentian Shleter II yang mempunyai ketinggian 3,057 dari aras laut sebelum melihat fajar pertama pada tahun 2017.

Yang pastinya, masih banyak potensi pelancongan alam di Kerinci yang boleh dibangunkan termasuk di Taman Nasional Kerinci Seblat (TKNS).

Pihak pemerintah perlu menyediakan prasarana bagi memudahkan pelancong untuk sampai ke destinasi-destinasi pelancongan ini. Begitu juga dengan kemudahan hotel, restoran dan kedai makan perlu dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pelancong tempatan serta antarabangsa. – Agensi