Keris simbol pengisytiharan acara pencak silat ASG7

Keris simbol pengisytiharan acara pencak silat ASG7

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Keris Simbol Pencak Silat dicabut dari sarungnya dan kemudian dihunus sambil diiringi laungan takbir tiga kali menjadi tanda pengisytiharan pembukaan rasmi acara Pencak Silat Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 petang ini.

Menyempurnakan Majlis Pembukaan Gelanggang Pertandingan Pencak Silat ASG7 2015 berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja ASG7 2015, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Majlis di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu bermula dengan perarakan masuk para peserta, pengurus pasukan dan para wasit juri ke dalam arena pertandingan disusuli nyanyian Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan” dan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.

Selesai perasmian dan keris simbol pencak silat diserahkan kepada ketua pertandingan untuk diletakkan di tempat khas, majlis diteruskan dengan upacara pembacaan ikrar pesilat dan ikrar wasit juri. Kemudian Haji Abdul Rahim diperkenalkan kepada para pengurus pasukan, peserta dan wasit juri pencak silat, pembukaan gelanggang dan bacaan doa selamat.

Haji Abdul Rahim menghunus keris simbol pencak silat bagi membuka rasmi acara Pencak Silat ASG ke-7 2015.
Haji Abdul Rahim menghunus keris simbol pencak silat bagi membuka rasmi acara Pencak Silat ASG ke-7 2015.

Sejumlah tujuh acara tanding peringkat suku akhir telah dijalankan petang ini, dengan empat daripadanya melibatkan pesilat Brunei Darussalam iaitu dalam Tanding H Putra, Tanding E Putri, Tanding G Putri dan Tanding A Putra. Dalam Tanding H Putra, pesilat negara, Mohd Dinie Rif’aie bin Roslan tewas 0-5 kepada pesilat Malaysia, Mohd Fitri Naim bin Azmi. Sementara dalam Tanding E Putri, pesilat negara, Nur Fatin Nabilah binti Mohd Hatral Hazaman kalah 0-5 kepada pesilat Indonesia, Zidni Rahma Amaly.

Pesilat negara, Azura binti Abdul Rahman pula ditewaskan 0-5 oleh pesilat Malaysia, Nur Amira Izzati binti Khalid dalam Tanding G Putri, manakala Mohd Nasiruddin bin Abdullah Taha kalah 0-5 kepada pesilat Indonesia, Haryanto.

Tiga lagi keputusan lain ialah pesilat Indonesia, Paksi Ghifari Nurgana menang 5-0 ke atas pesilat Thailand, Jenpavee Jaruprasit dalam Tanding H Putra, pesilat Thailand, Prapapon Kancharee menewaskan pesilat Malaysia, Nur Suhadah binti Mohd Nor 5-0 dalam Tanding E Putri, dan pesilat Thailand, Paphawine Kueakoboon menang 5-0 ke atas pesilat Laos, Nongoy Vongphakdy dalam Tanding G Putri.

Acara pencak silat ASG7 2015 akan diteruskan lagi esok (Selasa, 24 November) petang dengan pertandingan akhir Seni Beladiri dan pertandingan separuh akhir Kategori Tanding di tempat yang sama bermula pukul 2:00 petang.

ARTIKEL YANG SAMA