Kerja alternatif buat belia

Kerja alternatif buat belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Bidang pekerjaan seperti pemandu jentera berat dan dalam industri ringan seperti sektor pertanian, perkhidmatan dan hospitaliti harus dilihat oleh para belia lepasan sekolah yang mencari kerja sebagai satu bidang kerjaya yang baik dan berpotensi menyumbang kepada kehidupan berdaya tahan, jika ia dilaksanakan dengan rasa bertanggungjawab dan amanah, penuh disiplin dan sentiasa mematuhi arahan serta peraturan yang ditetapkan oleh syarikat atau majikan.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 dan Menandatangani Kontrak Pengambilan Bekerja di antara Para Peserta Kursus dengan Pengusaha-pengusaha Jentera Berat, hari ini.

Sejak Kursus Pemandu Jentera Berat mula diperkenalkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB), jumlah permohonan bagi menyertai kursus berkenaan terus menunjukkan peningkatan yang menggalakkan di mana pusat berkenaan telah melahirkan seramai 63 orang belia berkemahiran dalam bidang pemanduan jentera berat dan hampir 100 peratus lepasan kursus berkenaan telah memperoleh pekerjaan yang menjurus kepada bidang kemahiran berkenaan, tambah Yang Berhormat Pehin lagi di majlis yang berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia, Jalan Utama Tanah Jambu, Berakas.

Menyentuh lanjut mengenai kursus itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa pelaksanaan kursus berkenaan dihasratkan untuk memberikan satu alternatif baru kepada golongan belia yang tidak bekerja atau yang tidak lagi bersekolah untuk memajukan dan memahirkan diri mereka dalam satu kemahiran baru berkaitan dengan pemanduan jentera berat.

“Ini juga memandangkan penglibatan golongan belia di dalam bidang pekerjaan sedemikian, dilihat masih kurang dan tidak popular disebabkan keadaan pekerjaan ini yang begitu berat dan memerlukan komitmen yang begitu tinggi.”

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan sijil kursus kepada salah seorang peserta yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan sijil kursus kepada salah seorang peserta yang diraikan.

Namun dengan jumlah permohonan daripada golongan belia yang meningkat untuk menyertai kursus itu, ulas beliau lagi, menunjukkan bahawa golongan belia sekarang sudah mula menerima jenis pekerjaan sedemikian yang dirasakan mempunyai masa depan kerjaya yang cerah dan berdaya tahan.

Beliau juga berkata bahawa kejayaan pelaksanaan Kursus Pemandu Jentera Berat itu antara lain terletak kepada pengendaliannya melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang mana kaedah itu mampu memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap lepasan pelatih keluaran Pusat Pembangunan Belia.

Pada masa yang sama, pengendalian serta kerjasama di antara pusat itu dan syarikat-syarikat yang berkaitan dalam bidang berkenaan dapat memastikan bahawa perkara yang dilaksanakan adalah diperlukan dan selaras dengan kehendak syarikat-syarikat itu.

“Apa yang jelas, strategi berlandaskan sinergi dan rakan kongsi (partnership) dalam pengendalian Kursus Pemandu Jentera Berat ini, bukan sahaja akan memberikan kemahiran yang relevan dan diiktiraf, malahan juga dapat memastikan para pelatih mendapat pekerjaan sebaik-baik sahaja selepas mereka menamatkan kursus.”

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa jumlah lepasan yang dihasilkan masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan tenaga kerja yang terlatih dan profesional dalam bidang yang diperlukan di pasaran kerja yang dianggarkan memerlukan 1,400 pemandu jentera berat dalam industri minyak dan gas, industri pelabuhan dan industri pembinaan.

“Dalam pada itu, dalam industri ringan seperti sektor pertanian, sektor perkhidmatan dan sektor hospitaliti juga amat memerlukan kemahiran tempatan dalam bidang pemanduan termasuklah penyelenggaraan kenderaan berat.”

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menyarankan PPB untuk menerokai bidang-bidang lain berkaitan dengan pengendalian jentera berat yang diperlukan dalam bidang pelabuhan dan pembinaan seperti Crane Operator, Forklift dan Hydraulic Shovel sebagai nilai tambah baru kepada kursus yang sedia ada supaya para belia boleh dibekalkan dengan kemahiran yang pelbagai dalam bidang berkenaan di mana kerja-kerja itu masih banyak didominasi oleh pekerja-pekerja asing.

ARTIKEL YANG SAMA