Kerja amal bersih masjid

Kerja amal bersih masjid

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Ogos – Dengan hasrat untuk sama-sama memberikan kerjasama mengekalkan kebersihan persekitaran masjid, Kumpulan Pendikir Asy-Syuhada telah mengadakan Projek Kerja Amal Membersihkan Masjid Perpindahan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Kira-kira empat puluh orang dalam kalangan ahli kumpulan tersebut telah menyertai kerja amal berkenaan dengan diketuai oleh Pengerusinya, Dayang Zainah binti Haji Daud dan disertai oleh tenaga pengajar Kelas Dikir, Haji Ibrahim bin Haji Dollah.

Projek telah dimulakan dengan senamrobik yang dipimpin oleh Awang Abdul Alim bin Abdullah, kemudian diteruskan dengan membersihkan persekitaran luaran masjid dan yang disasarkan ialah pembersihan kawasan bilik memandikan jenazah, selain kawasan ruang sembahyang luar masjid, tandas, dan kawasan persekitaran masjid lainnya.

Ia merupakan aktiviti pertama kumpulan tersebut bagi kerja amal membersihkan masjid, sementara kerja amal yang lain pernah dilakukan seperti membersihkan Tanah Perkuburan Tanjung April lepas, dan juga mengadakan Kursus Fardu Kifayah yang juga merupakan projek terbesar mereka pada tahun lepas.

Dayang Zainah, semasa ditemui Media Permata menjelaskan, kerja amal itu turut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahlinya, selain untuk menyemaikan sikap pemedulian mereka, serta meningkatkan semangat kerja berpasukan, bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja berkebajikan kepada masyarakat.

Pendikir Asy-Syuhada bergambar ramai semasa Projek Kerja Amal membersihkan kawasan Masjid Perpindahan Kampung Pandan kelmarin.
Pendikir Asy-Syuhada bergambar ramai semasa Projek Kerja Amal membersihkan kawasan Masjid Perpindahan Kampung Pandan kelmarin.

Kumpulan tersebut, yang telah ditubuhkan pada 2004, setakat ini mempunyai seramai 70 orang ahli terdiri daripada kalangan wanita Kampung Lumut, Seria, Mumong dan Kampung Pandan.

Antara aktiviti berterusan mereka ialah berdikir atas jemputan orang ramai pada majlis-majlis tertentu, dan juga membuat persembahan Tausyeh untuk majlis-majlis perkahwinan.

Menurut Dayang Zainah, ahli-ahlinya menyertai kelas-kelas latihan dikir pada setiap Isnin, membaca Al-Quran pada hari Selasa dan belajar Tausyeh pada hari Rabu, dengan tenaga pengajar mereka Haji Ibrahim yang diadakan di kediaman pengerusi kumpulan tersebut di Perpindahan Kampung Pandan C, dan kumpulan ini telah didaftarkan di bawah Majlis Belia Brunei (MBB) baru-baru ini.

Kerja membersihkan beberapa kawasan masjid secara bergotong-royong dilakukan oleh ahli-ahli Kumpulan Pendikir Asy-Syuhada di Masjid Perpindahan Kampung Pandan.
Kerja membersihkan beberapa kawasan masjid secara bergotong-royong dilakukan oleh ahli-ahli Kumpulan Pendikir Asy-Syuhada di Masjid Perpindahan Kampung Pandan.

“Melalui majlis-majlis undangan berdikir, ahli-ahli kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertakluk keperluan yang mengundang, dan untuk mengembangkan lagi aktiviti-aktiviti kerja amal kumpulan ini, kami telah menubuhkan tabung kebajikan pada tahun lepas, bagi keperluan membantu masyarakat khususnya kepada ahli-ahli, dengan cara membuat kutipan sejumlah $3 setiap seorang ahli pada setiap bulan,” katanya.

Beliau juga menyatakan, mereka merancang untuk menambahkan lagi kutipan tabung untuk mengadakan kerja-kerja amal bertaja dalam masa terdekat, dan pada projek akan datang mereka sekali lagi akan mengadakan kerja amal membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam Al-Ridhuan di Kampung Sungai Liang pada September nanti, manakala pada hujung tahun ini mereka akan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.

Dengan tertubuhnya kumpulan dan juga tabung kebajikan mereka, ahli jawatankuasa mereka terdiri daripada antaranya Dayang Zainah selaku Pengerusi, jawatan Naib Pengerusi pula Hajah Lateefah binti Abdullah, Setiausaha, Dayang Nurharyanie binti Abdullah Sangai, Naib Setiausaha, Hajah Nilam binti Haji Abdullah, Bendahari I, Dayang Asnah binti Haji Maidin dan Bendahari II, Dayang Asnah binti Ahmad, serta ahli-ahli jawatankuasa lainnya, untuk terus memajukan pergerakan kumpulan pendikir itu.

ARTIKEL YANG SAMA