Kerja amal tingkat kesedaran sosial

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam anjuran Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan hari ini diteruskan lagi dengan kegiatan amal di empat buah rumah sekitar Daerah Brunei dan Muara.

Peserta-peserta program tersebut melakukan kerja-kerja amal seperti mengemas, membersihkan perkakasan dan halaman rumah, memotong rumput dan menebang pokok-pokok.

Mereka turut menyampaikan sumbangan makanan asasi yang dikumpulkan oleh peserta, keluarga, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Empat buah rumah yang menjadi tumpuan kerja-kerja amal peserta program ialah rumah Awang Muhammad Shaihan bin Shamsun Yura di Kampung Kasat yang merupakan salah seorang penerima bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Pembersihan di sini diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Muhammad bersama beberapa peserta program, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Para peserta perkampungan sivik menyampaikan sumbangan kepada Dayang Rukam.
Para peserta perkampungan sivik menyampaikan sumbangan kepada Dayang Rukam.
Para peserta membersihkan halaman rumah salah seorang penerima bantuan bagi melaksanakan kegiatan amal.
Para peserta membersihkan halaman rumah salah seorang penerima bantuan bagi melaksanakan kegiatan amal.

Manakala kerja gotong-royong di rumah Dayang Rukam bin Haji Ibrahim di Kampung Lumapas yang merupakan penerima bantuan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Di rumah Dayang Ruziah binti Abdul Rahman di Kampung Tasek Meradun yang juga penerima bantuan MUIB, kerja-kerja amal diketuai oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Hajah Rabi’atul’adawiyah binti Haji A.Ahmad.

Pegawai Penerangan, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya pula melakukan kerja-kerja amal di rumah penerima bantuan MUIB, Dayang Rohani binti Sahari di Kampung Tasek Meradun.

Kerja-kerja amal ini dihasratkan dapat mendedahkan para peserta dengan kegiatan kemasyarakatan di samping meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial terhadap mereka yang kurang berkemampuan.