Kerja berpasukan tuntutan agama

Kerja berpasukan tuntutan agama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kerja berpasukan itu termasuk dalam tuntutan agama Islam yang mana ia membawa kepada semangat bekerjasama, perpaduan, kesatuan dan keserasian.

“Tuntutan ini perlu direalisasikan secara menyeluruh kerana kerja berpasukan yang tulus ikhlas itu mendatangkan keharmonian serta mengurangkan pergeseran atau berpuak-puak yang natijahnya ialah kehancuran dan kegagalan,” tekan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Tanpa semangat berpasukan, kerja-kerja besar dan berat tidak akan dapat ditanai, yang mana ia akan merugikan diri sendiri, majikan serta negara, ulas beliau lagi ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

“Lebih-lebih lagi kerja-kerja kita di kementerian ini berkait dengan kemajuan syiar Islam dan melaksanakan dasar agama yang lohor, tinggi dan murni di negara ini, oleh sebab itu kita perlu menyekutukan diri sebagai satu barisan yang kuat dan padu.”

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika mengulas mengenai majlis sambutan itu, berkata “Dengan adanya sambutan hari raya ini, kita akan dapat membaik pulih suasana kerja, menjana harapan dan motivasi yang kuat demi meningkatkan hasil dan kualiti kerja masing-masing, sebab jiwa dan perasaan kita telah lepas daripada sifat marah, sifat syak wasangka, sifat dendam, sifat iri hati dan sebagainya. Itulah objektif Hari Raya iaitu menyatukan dan mengharmonikan.”

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad menghadiri majlis berkenaan.
Pegawai dan kakitangan kementerian yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pegawai dan kakitangan kementerian yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis turut dihadiri oleh isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Alimah binti Mohd Taib, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, para jemputan khas, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEU serta ahli-ahli keluarga mereka.

Majlis tahunan yang menghimpunkan semua jabatan-jabatan di bawah KHEU termasuk Pejabat Hal Ehwal Ugama daerah-daerah itu merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan warga kementerian bagi mengeratkan hubungan silaturahim yang lebih mesra dan harmoni sesama mereka serta menerapkan nilai-nilai yang lebih positif dalam hubungan kekeluargaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Suboh yang diikuti dengan kata alu-aluan oleh Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, KHEU, Pengiran Alli bin Pengiran Haji Mohammad.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bersama rombongan beramah mesra dan mengunjungi ke setiap jabatan, bahagian dan unit di bawah KHEU.

Bagi menyerikan suasana majlis, persembahan bercorak keagamaan disembahkan oleh warga Jabatan Pengajian Islam dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA