Kerja bina substesen mula minggu depan

Kerja bina substesen mula minggu depan

MIRI, 10 Mac (Bernama) – Kerja pembinaan substesen Lambir bernilai RM120 juta akan bermula 15 Mac ini dan dijangka siap pada akhir 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd (SEB), Datuk Torstein Dale Sjotveit.

Projek substesen 275/33kV itu akan meningkatkan bekalan elektrik di Miri yang mempunyai jumlah penduduk lebih daripada 350,000.

“Ketika ini, sumber utama bekalan kuasa bagi Miri adalah stesen kuasa Pujut 104 MW kami dengan sumber kedua dari grid negeri melalui jalur penghantaran dari Similajau ke Tudan,” katanya semasa majlis pecah tanah bagi projek itu yang di sini hari ini.

Beliau turut mengulangi komitmen SEB untuk memperuntukkan RM400 juta bagi menambah baik infrastruktur dan sistem pengagihan di Miri.

“SEB akan menambah pelaburan RM200 juta lagi bagi sistem penghantaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk wilayah Sarawak utara dan kini sedang meningkatkan grid negeri.

“Sistem penghantaran 275 kV yang ada ketika ini telah digunakan hampir 30 tahun dan sudah tidak mencukupi untuk menyalurkan bekalan kepada 600,000 pelanggan SEB di seluruh negeri,” katanya.

Menurut Sjotveit, SEB dalam proses pembinaan jaluran penghantaran kedua dari Similajau ke Lambir.

“Memandangkan ia siap pada 2019 di samping peningkatan grid bekalan ke Miri, jalur penghantaran berkenaan akan turut berperanan sebagai titik sambungan grid ke Limbang dan Lawas melalui jalur penghantaran Bunut ke Limbang dan Lawas yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja ia siap, Limbang dan Lawas akan bersambung kepada grid negeri menjelang 2020.

Menteri Kemudahan Awam negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyempurnakan pecah tanah substesen Lambir. Beliau berkata penambahbaikan infrastruktur jaringan akan mengurangkan masalah gangguan kuasa yang sering berlaku di Miri.