Kerja keras 13 tahun diiktiraf

Kerja keras 13 tahun diiktiraf

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Seorang pengurus besar syarikat swasta telah dianugerahkan ‘Pentadbir Profesional Tahunan 2016’ pada penutup Persidangan Setiausaha-setiausaha Eksekutif & Profesional Pentadbiran (ESAP) ke-5, 2016 berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Hotel Star Lodge, Jerudong.

Penganugerahan itu sekali gus melayakkan Cheryl Lee Shuk Wen untuk mewakili Brunei Darussalam ke Kongres Persatuan Setiausaha dan Pentadbiran Profesional Asia Pasifik (ASA) yang akan diadakan di Manila, Filipina pada September depan.

Cheryl Lee diberi pengiktirafan itu atas peranannya selaku Pengurus Besar Hongkiat Trading & Company selama 13 tahun, di mana beliau memastikan perniagaan berjalan dengan sempurna.

Beliau dipilih oleh syarikat itu berikutan kerja keras dan usaha gigih yang beliau salurkan sejak sekian lama. Selain itu, Cheryl juga mempunyai tanggungjawab lain termasuk mengendalikan kumpulan pentadbiran dan kewangan, sumber tenaga manusia dan hubungan bersama ahli kakitangan syarikat tersebut.

Cheryl Lee Shuk Wen (empat kiri) dianugerahkan sebagai ‘Pentadbir Profesional Tahunan 2016’ mewakili Brunei Darussalam ke Kongres Persatuan Setiausaha dan Pentadbiran Profesional Asia Pasifik.
Cheryl Lee Shuk Wen (empat kiri) dianugerahkan sebagai ‘Pentadbir Profesional Tahunan 2016’ mewakili Brunei Darussalam ke Kongres Persatuan Setiausaha dan Pentadbiran Profesional Asia Pasifik.

Ketika ditemui, Cheryl berkata, dengan penganugerahan ini, beliau akan lebih gigih dalam bidang kerjayanya dan akan melatih diri bagi persediaan menjadi wakil negara untuk Kongres ASA nanti.

Selain Piala Cabaran, Cheryl juga menerima tiket penerbangan pergi balik ke Manila termasuk tempat penginapan di samping keahlian selama setahun di Fitness Zone, hamper dan baucar daripada para penaja.

Menurut Pengurus Operasi CONFEX, Dayangku Maznah binti Pengiran Badarudin, dalam persidangan ini CONFEX selaku penganjur persidangan dengan kerjasama Persatuan Setiausaha dan Profesional Pentadbiran Brunei telah mengumpulkan 100 orang wanita yang bertugas di sektor swasta dan kerajaan sebagai setiausaha, eksekutif tenaga manusia, pentadbir profesional dan penolong peribadi.

ESAP yang diadakan setiap April berlangsung sejak tahun 2012 dan disertai lebih 700 peserta menjadikannya acara tahunan bersempena dengan Minggu Sekretariat Global.

Acara ini juga bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada profesional pentadbiran dan setiausaha atas usaha dan sumbangan mereka kepada organisasi masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA