Kerja keras, kegigihan membuahkan ganjaran

Kerja keras, kegigihan membuahkan ganjaran

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Kegigihan dan usaha semua warga sekolah akhirnya mendapat ganjaran apabila murid-murid yang menduduki peperiksaan PSR tahun lalu cemerlang dalam keputusan mereka, sehingga Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching mendapat anugerah Insentif PSR lumayan daripada Kementerian Pendidikan.

Guru besar sekolah itu, Hainyisah binti Haji Mustapa berbesar hati dan berbangga menerima Anugerah Insentif berjumlah $5,000 itu yang akan digunakan untuk kemudahan guru-guru Tahun 6 agar mereka lebih proaktif lagi dalam menyediakan bahan-bahan pengajaran di kelas.

Menurutnya lagi, teknik pengajaran di sekolah itu adalah selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan yang banyak memfokuskan pembantu pelajar Gred E-D.

“Guru-guru akan menggunakan pedagogi ‘learning design’ yang lebih kepada pengajaran dengan aktiviti agar lebih menyeronokkan lagi murid-murid untuk belajar,” ujarnya lagi.

Beliau menyatakan perasaan gembira dan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas anugerah yang diberikan dan berharap warga sekolah dan pelajar-pelajar terus bermotivasi dan bersemangat, manakala ibu bapa terus memberikan sokongan dan kerjasama.

Hainyisah bersyukur menerima insentif atas kegigihan warga sekolah membantu pelajar lulus cemerlang PSR.
Hainyisah bersyukur menerima insentif atas kegigihan warga sekolah membantu pelajar lulus cemerlang PSR.

“Semoga tahun-tahun mendatang, khususnya pada tahun ini kami akan terus mencapai kejayaan sebegini dan mencapai sasaran yang diharapkan,” beliau melahirkan harapan.

Sementara itu Guru Besar Sekolah Rendah Bendahara Lama, Ali Hamzah bin Haji Zaini yang ditugaskan di Sekolah Rendah Bendahara Lama sejak tahun 2010 menceritakan pencapaian konsistennya kepada Media Permata.

Menurutnya sekolah berkenaan telah pun mencapai kelulusan Gred A-C 100 peratus sejak tahun 2010 hingga 2015 namun hanya pada tahun 2012 sekolah tersebut jatuh dan termasuk sekolah-sekolah yang lain juga.

“Teknik pengajaran, kami perancangan strategik bermula 2010 sampai 2015. Guru-guru sekolah akan menganalisis pelajaran murid-murid. Sebagai persiapan lebih awal mereka akan dianalisis bermula dari Tahun 4 dan 5 lagi sebelum menduduki peperiksaan PSR pada Tahun 6,” ujarnya.

Ali Hamzah ketika ditemubual wartawan.
Ali Hamzah ketika ditemubual wartawan.

Katanya kelemahan-kelemahan murid akan terus dipantau oleh guru-guru yang ditugaskan dan kebanyakan analisis-analisis yang dibuat akan mendapat mengetahui kelemahan murid yang perlu diperbaiki mengikut subjek yang lemah.

“Kami juga akan mengadakan kelas tambahan pada setiap hari Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 11 pagi namun begitu kelas tambahan itu tidak tertumpu kepada Tahun 6 sahaja malah juga dibukakan untuk murid-murid Tahun 4 dan 5 sebagai persiapan awal,” ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan insentif wang tunai berjumlah $2,000 itu akan digunakan mengikut perbincangan yang bakal dibuat. Guru-guru sekolah akan merancang kepentingan untuk kegunaan bagi meningkatkan lagi pencapaian keputusan sekolah.

“Mewakili sekolah, kami bersyukur atas keputusan tahun 2015 ialah keputusan terbaik yang selama ini kami capai. Sebelas rang calon yang menduduki PSR dan mereka mendapat keputusan Gred A-C termasuk seorang murid autisme. Kami betul-betul tidak menyangka akan mencapai keputusan cemerlang tahun 2015 itu,” jelasnya lagi.