Kerja keras pikat Mourinho

Kerja keras pikat Mourinho

LONDON, 3 Ogos – Matteo Darmian sedar saingan dihadapinya biasa dalam kelab seperti Manchester United ketika dia cuba mencapai tahap kecergasan tertinggi bagi menarik perhatian pengurus Jose Mourinho.

Pemain antarabangsa Itali itu diturunkan sebagai gantian ketika United menang 5-2 ke atas Galatasaray di Stadium Ullevi di Sweden. Dia kini sedang berusaha keras untuk berada di tahap terbaik menjelang musim baharu Liga Perdana yang bakal bermula pertengahan bulan ini.

“Penting untuk saya bermain dalam perlawanan itu kerana baru seminggu turun menjalani latihan,” kata Darmian kepada ManUtd.com. “Saya belum cukup cergas dan sehubungan itu perlu meningkatkan semua perkara.

“Saya rasa, saingan untuk merebut tempat dalam pasukan sesuatu yang positif kerana bagi kelab besar seperti ini, sudah pasti asda ramai pemain bagus untuk setiap posisi.

“Anda perlu bersedia sepanjang masa terutama ketika diberi peluang jurulatih. Bagi saya, beliau (Mourinho) pengurus yang bagus. Beliau laparkan kemenangan dan kejayaan yang pernah dikecapinya sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Darmian cuba mencapai tahap kecergasan tertinggi untuk menarik hati pengurus. – AFP
Darmian cuba mencapai tahap kecergasan tertinggi untuk menarik hati pengurus. – AFP

“Kami mahu mencapai tahap kecergasan tertinggi minggu ini sekali gus bersedia untuk perlawanan pertama musim ini.”

Darmian masuk menggantikan Luke Shaw di posisi pertahanan kiri sambil Ashley Young bermain di sebelah kanan.

“Sebenarnya saya seorang pemain pertahanan kanan tapi boleh juga bermain di sebelah kiri,” kata Matteo. “Jika pengurus mahu saya bermain di sebelah kiri, saya akur.”

Zlatan Ibrahimovic membuat penampilan hebat dengan gol pertamanya di minit keempat dan Darmian berkata, pemain Sweden itu menerima penghormatan semua rakan sepasukan ketika di bilik persalinan.

“Dia seorang pemain yang hebat,” kata pertahanan Itali itu. “Dia boleh membantu kami untuk mencapai kemenangan kerana dia seorang pemain yang bukan saja hebat tapi turut mempunyai tahap pemikiran bagus. Dia juga sentiasa mahu menang.” – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA