Kerja naik taraf jalan Kuching-Serian siap Ogos tahun depan

Kerja naik taraf jalan Kuching-Serian siap Ogos tahun depan

KUCHING, 13 April (Bernama) – Kerja menaik taraf Jalan Kuching-Serian sepanjang 9.2km berjalan mengikut jadual untuk disiapkan menjelang Ogos tahun depan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata pemaju projek itu melaksanakan pelan mempercepatkan kerja bagi menampung kelewatan selama beberapa hari berkaitan program persiapan awal, yang antaranya melibatkan pemerolehan tanah.

“Apa yang anda dengar tentang projek ini, terutama daripada pembangkang yang mengatakan projek ini terbengkalai, adalah cakap politik semata-mata.

“Berdasarkan taklimat hari ini, saya yakin kami dapat menyiapkannya mengikut jadual,” katanya kepada media di tapak projek itu hari ini.

Terdahulu, Manyin diberi taklimat tentang projek itu oleh kontraktor utamanya, Westfield Services Sdn Bhd, Pengurus Wilayah Jabatan Kerja Raya dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

Projek berharga RM80 juta itu, yang mula dilaksanakan November lepas, akan menyaksikan laluan dari Batu 10 hingga Batu 15, dinaik taraf daripada dua lorong kepada lebuh raya dua hala.

Dalam perkembangan berkaitan, Manyin berkata sistem saliran sepanjang 1.2km yang dianggarkan melibatkan kos kira-kira RM2 juta, juga dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Batu 12 jalan raya berkenaan.

“Sistem saliran itu akan merentasi kawasan kediaman dan tanah, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat anggaran tentang kosnya, termasuk kos pengambilan tanah.

Mengenai perkara ini, saya secara peribadi mengadakan perjumpaan dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta pengarah JPS,” katanya.