Kerjasama 2 negara lonjak bilateral industri halal

Kerjasama 2 negara lonjak bilateral industri halal

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) – Pulau Pinang berada dalam momentum yang betul untuk menjadi hab halal antarabangsa dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan Biz-Holdings Co Ltd yang berpangkalan di Korea Selatan bagi menggerakkan pertumbuhan dua hala dalam industri itu.

Biz-Holdings merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang penjagaan kecantikan, makanan dan minuman (F&B), kesihatan dan media di Korea Selatan. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim berkata kerjasama itu akan menawarkan kemudahan khidmat perundingan dan nasihat dalam mengasaskan industri halal di Korea. Ia juga akan berfungsi sebagai ‘pintu masuk’ bagi membolehkan kedua-dua negara meningkatkan aktiviti import dan eksport dengan negara-negara lain.

“Kami akan menggalakkan kesedaran halal di Korea Selatan, di samping membantu syarikat dan agensi di negara itu menyediakan perkhidmatan dan produk mereka dalam memenuhi keperluan halal.

“Peranan utama kami adalah untuk membantu dalam pensijilan halal dan pemindahan teknologi di antara syarikat-syarikat Korea Selatan dan Pulau Pinang,” Abdul Malik memberitahu Bernama selepas majlis pertukaran dokumen MoU itu di sini baru-baru ini.

Datuk Abdul Malik Kassim (dua kanan) dan Catherine Yoo membuat pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) bagi perkongsian itu dalam melonjakkan lagi pertumbuhan dua hala dalam industri halal, Kelmarin. – Bernama
Datuk Abdul Malik Kassim (dua kanan) dan Catherine Yoo membuat pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) bagi perkongsian itu dalam melonjakkan lagi pertumbuhan dua hala dalam industri halal, Kelmarin. – Bernama

Di bawah MoU itu, Pulau Pinang akan diwakili oleh Pembangunan PIHH Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai Halal Penang yang bertanggungjawab untuk promosi, kemudahan dan pembangunan industri halal di negeri ini. Ia juga merupakan sebuah agensi kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biz-Holdings Catherine Yoo berkata kerjasama itu menawarkan peluang bagi membolehkan syarikat itu memasuki Asia Tenggara dan pasaran Islam yang lain.

Permintaan untuk produk halal di Korea Selatan telah semakin meningkat dengan pesat dan banyak syarikat mahu menyertai industri itu tetapi tidak mengetahui bagaimana untuk mengakses pasaran.

Halal Penang memiliki sejarah yang panjang dan rekod yang baik dalam membantu United Kingdom, Belgium, Turki, Morocco, Yaman, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan, India, China dan Jepun, akan membantu merangsang industri itu di Korea Selatan.

ARTIKEL YANG SAMA