Kerjasama belia diharapkan

Kerjasama belia diharapkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Ogos – Terdapat sebahagian individu yang masih belum dapat menukar cara berfikir mereka dan suka berdiri atas pagar, tidak mahu tampil bersama-sama dalam membangun dan mengembang majukan kampung, ini dilihat sebagai antara sebab mengapa masih ramai penglibatan dalam kalangan orang-orang yang sudah lanjut usia dan kurang daya tenaga.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad menekankan, penduduk kampung terutama sekali dalam kalangan belia perlu tampil ke hadapan memberikan kerjasama, kerana mereka adalah sebagai pelapis, dan peluang untuk mereka sama-sama berkhidmat dalam memajukan sesebuah kampung adalah terbuka luas.

Beliau berkata, ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan kampung (MPK), akan lebih maju jika lebih ramai penglibatan dalam kalangan belia, dan mereka ini akan diberikan peluang memegang jawatan penting, manakala kalangan veteran akan dijadikan sebagai penasihat, ke dalam ahli-ahli jawatankuasa MPK yang baru nanti.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di kediamannya di sini, bagi menjelaskan mengenai pembubaran ahli jawatankuasa MPK Lumut 1 yang lama pada bulan Oktober ini, sekali gus akan mengadakan lantikan ahli-ahli jawatankuasa baru.

Ke arah itu, katanya lagi, beliau juga telah berkempen dengan memanggil mereka yang dikenal pasti boleh bergiat aktif.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee semasa ditemui di kediamannya di Kampung Lumut.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee semasa ditemui di kediamannya di Kampung Lumut.

Menurutnya, dalam mencari ahli-ahli jawatankuasa memang tidak disangkal merupakan cabaran yang besar baginya, kerana mereka merupakan sukarelawan, membantu penghulu atau ketua kampung, dalam memberikan idea dan cadangan, dalam sama-sama membawa ke arah kemajuan sesebuah kampung atau mukim.

“Bukanlah begitu mudah, mencari individu yang berminat untuk berkhidmat secara sukarelawan, tanpa gaji atau elaun, tetapi sebenarnya perlu disedari, jika tanggungjawab dan kejujuran yang ditaburkan demi kampung dan masyarakat sekelilingnya dengan penuh keikhlasan dan niat kerana Allah Subhanahu Wata’ala, maka amatlah besar ganjaran pahala yang akan dikurniakanNya, Insya-Allah.

“Selain khidmat yang diberikan sebagai tanda kita semua cintakan negara dan bangsa dan mahu melihat keamanan, kesejahteraan dan kemajuan terus dinikmati di negara ini, dengan membantu menaikkan taraf kemajuan kampung dalam apa bidang sekalipun,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan, antara cabaran bagi ahli-ahli jawatankuasa termasuklah masa, iaitu perlu bijak dalam membahagikan masa seimbang dengan melaksanakan tanggungjawab kehidupan seperti pekerjaan mereka dan sebagainya.

“Kerana pekerjaan adalah penting bagi kehidupan setiap individu, tetapi saya berharap janganlah seperti batu tenggelam, jika ada arahan baru membuat kerja, kerana jika sudah bersetuju menerima lantikan dalam MPK, perlulah menanamkan sikap rasa bertanggungjawab dan komited ke atas tugas yang telah diamanahkan,” tekan Yang Berhormat lagi.

Beliau turut menjelaskan, tiada batasan usia dalam memilih ahli-ahli jawatankuasa MPK, asalkan mereka masih mampu bergiat aktif, bagaimanapun beliau memang membukakan peluang kepada penyertaan dalam kalangan belia sebagi pelapis kepimpinan masyarakat pada masa depan.

“Dan mereka perlu tampil sekarang, jika bukan sekarang bila lagi, kerana mereka aset yang paling penting bagi pengganti kepimpinan yang ada, yang sudah menjangkau usia lanjut dan sebagainya, selain MPK kami juga mempunyai kekurangan bahagian Biro Kesenian dan Kebudayaan, dan ini juga agak mustahak, begitu juga dengan Biro Agama,” tambahnya lagi.

Beliau juga menekankan kepentingan lantikan beberapa jawatan seperti timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari untuk bekerjasama rapat dengan ketua kampung, dan ahli jawatankuasa penggerak bagi mengungkayah pelbagai aktiviti bagi memajukan majlis perundingan mukim dan kampung serta kampung itu sendiri khususnya.

Menjelangnya pemilihan jawatankuasa baru akan datang, beliau berharap supaya akan dapat melantik mereka yang benar-benar mahu bekerja dan bergiat aktif untuk membantu memajukan kampung, dan berharap kerjasama penduduk kampung untuk datang beramai-ramai dalam mesyuarat pelantikan itu nanti.