Kerjasama bersih masjid menjelang Ramadan

Kerjasama bersih masjid menjelang Ramadan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang tinggal kurang seminggu lagi, Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen dengan kerjasama Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mulaut, mengadakan kempen kebersihan masjid berkenaan, hari ini.

Kempen itu bukan saja disertai penduduk kampung tetapi juga melibatkan penyertaan daripada golongan belia dan remaja termasuk penuntut-penuntut dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Mulaut selaku Pengerusi MPK Mulaut yang juga Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid, Haji Mohammad Jait bin Haji Hitam.

Haji Mohammad Jait mengatakan, kempen yang dilaksanakan dengan semangat kerjasama dan bergotong-royong itu, diharap akan terus diamalkan serta dihayati oleh masyarakat dan penduduk yang tinggal di kampung itu.

Kerja-kerja membersihkan kawasan masjid sedang dijalankan.
Kerja-kerja membersihkan kawasan masjid sedang dijalankan.

Bagi memastikan kempen berjalan dengan teratur dan lancar, pihak pengurusan jawatankuasa takmir masjid telah membahagikan kawasan-kawasan yang dibersihkan kepada lapan zon yang melibatkan dalam dan luar masjid.

Di samping itu, sehari sebelum kempen diadakan, pengetua PTE Sengkurong telah menyerahkan wakaf terdiri daripada peralatan untuk digunakan dalam kempen itu kepada imam masjid serta tenaga pengajar pusat.

Sebelum kempen dimulakan, taklimat ringkas telah disampaikan kepada para peserta kempen oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Takmir Masjid, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.

ARTIKEL YANG SAMA