Kerjasama bidang penyelidikan penting

Kerjasama bidang penyelidikan penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Kerjasama dalam bidang penyelidikan di dalam rantau ASEAN dan negara-negara luar bukan sahaja dapat merangsang perkembangan sektor pengajian tinggi serantau tetapi ia memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi Universiti Brunei Darussalam (UBD) iaitu sebagai sebuah universiti antarabangsa kelas pertama yang mempunyai identiti kebangsaannya tersendiri.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), UBD, Profesor Madya Dr Mohd Ayub Sadiq @ Lin Naing berkata, penyelidikan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara di mana dengan melakukan penyelidikan itu, seseorang mampu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memahami dengan lebih baik serta melindungi diri mereka daripada maklumat yang tidak tepat serta membantu untuk membuat keputusan yang penting.

Pada masa yang sama, penyelidikan juga merupakan peneraju inovasi yang memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi, katanya semasa berucap pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Rangkaian Universiti ASEAN untuk Perniagaan dan Ekonomi (AUN-BE) ke-15 di Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Negara Brunei Darussalam menyediakan peruntukan yang banyak bagi penyelidikan kebangsaan dengan melabur di dalam pusat-pusat penyelidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Dr. Mohd Ayub Sadiq menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Dr. Mohd Ayub Sadiq menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

UBD sebagai universiti kebangsaan unggul negara juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan lagi budaya penyelidikan serta mengetengahkan lagi kegiatan-kegiatan penyelidikan di universiti berkenaan melalui penganjuran bengkel-bengkel penyelidikan bagi ahli akademik muda, menyediakan bantuan pembiayaan bagi penyelidik, menubuhkan kumpulan penyelidikan serta menganjurkan acara penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa, katanya.

Dr. Mohd Ayub Sadiq berkata, dalam menggalakkan lebih banyak kegiatan atau kerjasama penyelidikan, sebagai contoh, Biasiswa Garduan Penyelidikan (GRS) ditawarkan oleh UBD bagi pelajar-pelajar yang mempunyai rekod akademik yang baik yang ingin memperoleh PhD mereka di universiti itu. Biasiswa berkenaan turut ditawarkan kepada pelajar-pelajar dari universiti-universiti ahli AUN.

Mengulas mengenai kerjasama penyelidikan, Dr. Mohd Ayub Sadiq berkata bahawa universiti-universiti AUN-BE harus terus mengadakan kerjasama yang erat khususnya dalam menangani pelbagai isu-isu yang rumit termasuk meningkatkan lagi kualiti program graduan dan lepasan graduan, pertukaran kredit, pertukaran pelajar, integrasi penyelidikan dan kerjasama dengan sektor swasta.

Dari segi pertukaran pelajar, beliau berkata UBD berada di kedudukan teratas dari segi mobiliti pelajar di kalangan universiti Asia dalam Ranking Universiti Asia Quacquarelli Symonds 2015. UBD berada di kedudukan pertama bagi pergerakan pertukaran pelajar keluar dan berada di tempat kedua bagi pergerakan pertukaran pelajar masuk ke universiti berkenaan di Asia.

Beliau menyatakan harapan pertukaran pelajar dengan universiti anggota AUN akan terus diperkukuhkan dengan UBD terus menghantar lebih 250 pelajarnya setiap tahun bagi menjalani Discovery Year di bawah AUN.

ARTIKEL YANG SAMA