Kerjasama Brunei-China diperkukuh

Gambar oleh Infofoto

 

BEIJING, 13 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping mengadakan rundingan yang komprehensif mengenai hubungan dua hala Brunei-China yang merangkumi kerjasama ekonomi, kesalinghubungan, pertukaran-pertukaran di peringkat rakyat, pendidikan dan pertahanan.

Semasa perjumpaan dua hala itu yang berlangsung Eastern Plaza, Great Wall of the People, Beijing, Baginda juga mengesahkan lagi komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mendukung dasar One-China.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Xi juga bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan serantau. Baginda menghargai sumbangan-sumbangan China dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kemajuan global.

Semasa perjumpaan tersebut, Presiden Xi mengucapkan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

Presiden Xi juga menghargai hubungan yang semakin kukuh di antara Brunei dan China dalam pelbagai bidang kerjasama.

Baginda Sultan berkenan bergambar rasmi bersama Presiden Xi Jinping sebelum mengadakan perjumpaan dua hala di Eastern Plaza, Great Hall of the People, Beijing.
KDYMM dijunjung memeriksa Barisan Kehormatan yang terdiri daripada anggota tentera People’s Liberation Army.
Baginda Sultan dan Presiden Xi Jinping menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian antara Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin dan wakil kerajaan Republik Rakyat China.
Presiden Xi Jinping diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen disembah-kenalkan kepada Presiden Xi Jinping.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Rasmi sempena Keberangkatan Baginda ke Republik Rakyat China.

Majlis berlangsung di Eastern Plaza, Great Hall of the People, Beijing.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Eastern Plaza dialu-alukan oleh Presiden Xi Jinping.

Baginda kemudian disembah-kenalkan kepada para pembesar negara dari China, kemudiannya diikuti dengan Presiden Xi Jinping diperkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung menaiki dais bagi menerima Tabik Hormat diiringi dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan China serta 21 das tembakan meriam.

Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia memeriksa Barisan Kehormatan yang terdiri daripada anggota tentera People’s Liberation Army.

Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Xi Jinping seterusnya beredar ke East Hall bagi Majlis Perjumpaan Dua Hala. Sebelum bermula, Baginda dan Presiden Xi Jinping menyertai sesi bergambar rasmi.

Satu kenyataan bersama antara kedua-dua buah negara juga dikeluarkan.

Selepas Majlis Perjumpaan Dua Hala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Xi menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian kerjasama yang berlangsung di Great Hall of the People.

Perjanjian-perjanjian kerjasama tersebut adalah Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Rakyat China bagi meningkatkan bersama kerjasama dalam Rangka Kerja Silk Road Economic Belt and the 21st Century Maritime Silk Road Initiative; Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Rakyat China bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang Infrastruktur di antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan

Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China; Pelan Tindakan Kerjasama di bidang Kesihatan di antara Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dan Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Nasional, Republik Rakyat China dan Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pertahanan, Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pertahanan Negara, Republik Rakyat China, Mengenai Memperkukuh Kerjasama Pertahanan.

Mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menandatangani perjanjian-perjanjian kerjasama itu ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Manakala kerajaan Republik Rakyat China diwakili oleh Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pemulihan Nasional He Lifeng; Menteri Perdagangan, Zhong Shan; Menteri Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Nasional, Li Bin dan Timbalan Ketua Pejabat Kerjasama Tentera Antarabangsa, Suruhanjaya Tentera Pusat, Mejar Jeneral Ci Guowei.

Selepas majlis penandatanganan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia beredar ke Golden Hall bagi Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh Presiden Xi, bagi meraikan Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke China.