Kerjasama Brunei-S’pura terus diperkukuh

Kerjasama Brunei-S’pura terus diperkukuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Tetap (SUT) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Leo Yip yang juga selaku SUT di Jabatan Perdana Menteri dan SUT bagi Keselamatan Negara dan Penyelarasan Perisikan, berserta rombongan di Bilik Tetamu, Tingkat 7, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di sini.

Perjumpaan tersebut menandakan persefahaman dan kerjasama erat di antara dua buah negara yang berjiran dan merupakan satu peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat dalam perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Hadir sama pada perjumpaan tersebut Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar.

Sejurus selepas perjumpaan tersebut, para delegasi dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, buat julung kalinya mengadakan Mesyuarat Perintis Dua Hala yang berlangsung di Bilik Muwaffaqah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Mesyuarat dua hala berkenaan dipengerusikan bersama oleh Haji Idris dan Leo Yip.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Leo Yip di Bilik Tetamu, Tingkat 7, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Yang Berhormat Pehin ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Tetap di KHEDN, Republik Singapura.
Yang Berhormat Pehin ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Tetap di KHEDN, Republik Singapura.
Haji Idris dan Leo Yip mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala berkenaan.
Haji Idris dan Leo Yip mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala berkenaan.

Ia menandakan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan istimewa antara kedua-dua buah negara sepertimana yang telah dipersetujui di dalam ‘Letter of Intent’ yang telah ditandatangani di antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri kedua-dua buah negara pada 8 September 2014 yang lepas, terutama dalam bidang keselamatan negara.

Skop-skop kerjasama di antara kedua-dua kementerian adalah di dalam langkah kawalan sempadan, mencegah kebakaran dan pengurusan mencari dan menyelamat dalam kawasan bandar.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Haji Muhd Sunadi; ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

Mesyuarat dua hala itu juga termasuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat strategik untuk keselamatan iaitu Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Pusat Al-Islah Biro Kawalan Narkotik, dan Jabatan Penjara Maraburong.

ARTIKEL YANG SAMA