Kerjasama cegah salah guna barang bersubsidi

Kerjasama cegah salah guna barang bersubsidi

LABUAN, 3 Sept (Bernama) – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Labuan akan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain untuk mencegah penyalahgunaan bahan bakar bersubsidi dan barang kawalan.

Ketua pegawai penguatkuasaannya Mohd Fikri Lai Abdullah berkata lebih banyak operasi bersama akan diadakan bagi mengesan kegiatan penyeludupan bahan bakar bersubsidi melalui laut dan darat.

“Kami tahu wujud perbuatan memindahkan bahan bakar secara haram di laut. Kami sedang mengumpul maklumat melalui pelbagai cara dan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Polis Marin, Kastam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata oleh kerana pulau bebas cukai ini terdedah kepada kegiatan penyeludupan, maka orang ramai, terutama yang terlibat dengan industri maritim, digesa melaporkan kepada kementerian itu tentang sebarang kegiatan haram untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kami sedar mengenai wujudnya kegiatan menyeludup dan mengendalikan bahan bakar di perairan Labuan ke tanah besar dan kami percaya, melalui kerjasama bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, kami mampu menangani isu ini,” katanya.