Kerjasama dengan Suzuki mampu pulih Proton

Kerjasama dengan Suzuki mampu pulih Proton

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed optimis kerjasama antara Proton dan Suzuki mampu memulihkan kembali syarikat automotif negara berkenaan.

Beliau berkata Proton boleh belajar daripada pengalaman pengeluar kereta Jepun berkenaan khususnya dalam pengeluaran kereta kompak.

“Suzuki mempunyai pengalaman di India. Mereka mempunyai penguasaan pasaran terbesar di sana kerana mereka merupakan pengeluar kereta kompak yang popular di negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Proton yang sebelum ini pernah membuat penyelidikan berkaitan kereta kompak, boleh menggunakan kepakaran Suzuki dalam membangunkan model tersebut.

“Kita harap dengan penyertaan Proton dalam segmen kereta kompak ini mampu meningkatkan kembali prestasinya,” katanya. Kerjasama Proton dengan rakan strategik asing juga, kata beliau, merupakan antara perkara yang digariskan dalam Dasar Automotif Nasional yang diumumkan pada Januari tahun lepas.

ARTIKEL YANG SAMA