Kerjasama dengan Suzuki tingkat jualan Proton

Kerjasama dengan Suzuki tingkat jualan Proton

KUALA LUMPUR, 6 April – Kerjasama dengan pengeluar kereta Jepun, Suzuki Motor Corp, akan membantu meningkatkan jualan Proton Holdings Bhd, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad. Beliau berkata, MAA mahu melihat Proton meneruskan kelangsungannya dan berjaya.

“Keupayaan Proton untuk melakar semula kejayaan juga baik untuk sektor kereta Malaysia,” katanya selepas mengumumkan My Auto Fest 2016, acara kereta selama tiga hari yang dijadual diadakan pada Mei. Beliau berkata Proton dijangka melancarkan model baharu pada pertengahan tahun ini.

Proton menandatangani perjanjian kerjasama dengan Suzuki pada awal tahun ini dan ia termasuk rancangan untuk sama-sama membangunkan model baharu dan pengeluaran pada akhir tahun ini. Proton, yang ditubuhkan pada 1983, terjejas kerana pelbagai isu berkaitan kualiti dan kurang pasaran eksport.

Aishah percaya jualan Proton akan meningkat dan mengembalikan jumlah vendor bagi kereta nasional itu sebaik ia mengambilkira isu mengenai mendapatkan produk yang sesuai melalui kerjasamanya dengan Suzuki. Beliau berkata My Auto Fest 2016 bertujuan menangani jumlah jualan yang rendah dicatatkan pada dua bulan pertama 2016.

Sehingga pada Februari 2016, Aishah berkata, jumlah kenderaan yang dijual adalah sebanyak 82,465 unit berbanding 100,992 unit pada Februari 2015.

“Jumlah jualan yang rendah itu disebabkan terutamanya oleh keyakinan pengguna yang masih rendah berikutan ekonomi yang tidak menentu dan ringgit lemah,” katanya.

Katanya ia turut disebabkan kesukaran untuk mendapat pembiayaan bagi pembelian kereta baharu berikutan keengganan bank untuk memberi pinjaman kepada pembeli kereta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA