Kerjasama dua hala Brunei-Sarawak amat berpotensi

Kerjasama dua hala Brunei-Sarawak amat berpotensi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Negara Brunei Darussalam dan Sarawak mempunyai hubungan sejarah yang erat dan dalam hubungan itu, kedua-dua belah pihak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam membangunkan bersama perdagangan dan pelaburan dua hala khususnya perdagangan merentas sempadan.

Menurut statistik dari Januari hingga Oktober 2015, eksport Sarawak ke Negara Brunei Darussalam berjumlah kira-kira $125.9 juta di mana sebahagian besar merangkumi eksport barangan pengangkutan dan mesin serta kayu balak dan produk-produk kayu.

Manakala itu, jumlah eksport keseluruhan bagi produk-produk balak Sarawak ke Negara Brunei Darussalam pada 2015 adalah sebanyak $6.93 juta iaitu sebanyak 0.3 peratus nilai eksport keseluruhan Sarawak bagi balak dan produk balak pada 2015.

Memandangkan sumbangan penting perdagangan merentas sempadan bagi produk balak Sarawak, Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak, tidak ketinggalan untuk menyertai Pesta Pengguna ke-17 dengan mempunyai pavilionnya tersendiri di pesta berkenaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bermula hari ini hingga 31 Januari. Pavilion Sarawak itu telah dirasmikan bersama oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak II, Menteri Perancangan Perindustrian dan Menteri Utiliti Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Datuk Amar Haji Awang Tengah memotong reben sebagai merasmikan di Pavilion Sarawak di Pesta Pengguna ke-17, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Datuk Amar Haji Awang Tengah memotong reben sebagai merasmikan di Pavilion Sarawak di Pesta Pengguna ke-17, kelmarin.

pg04_160127_i

Pavilion itu disertai oleh lapan peserta yang mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh pengusaha dari Sarawak termasuk penyertaan dari tiga syarikat pembuat perabot dan lima perusahaan kecil dan sederhana yang mempromosikan produk-produk berasaskan makanan serta produk kraf tangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penyertaan Sarawak dalam Pesta Pengguna itu merupakan usaha berterusan STIDC dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak untuk membantu dan memudahkan PKS dan pengusaha industri balak Sarawak untuk mempromosikan produk-produk mereka di pasaran antarabangsa.

Di samping itu, Malaysia dan Brunei yang merupakan anggota kepada Komuniti Ekonomi ASEAN juga mempunyai potensi besar dalam bidang perdagangan dan perniagaan untuk menerokai pasaran ASEAN yang mempunyai jumlah penduduk lebih 625 juta orang di mana ekonomi 10 negara anggota ASEAN secara keseluruhan merupakan salah satu kuasa ekonomi yang utama iaitu ekonomi kelima terbesar di belakang Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Dalam hubungan itu, Komuniti Ekonomi ASEAN menyediakan peluang dan ruang yang baru bagi PKS negara-negara anggota seperti Brunei dan Malaysia untuk menerokai serta memasuki pasaran ASEAN yang lebih meluas.

Oleh itu, penganjuran Pesta Pengguna memberikan peluang yang baik bagi komuniti perniagaan di Brunei dan Malaysia terutamanya Sarawak untuk menubuhkan rangkaian kerjasama perniagaan di antara kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL YANG SAMA